Geng Ali Kuantao samun guna parang akhirnya tumpas

‘GENG Ali Kuantao’ yang melakukan samun berkawan menggunakan parang di kedai serbaneka 24 jam di Bandaraya Kuching, tumpas, selepas penahanan enam lelaki semalam dan kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, pihaknya menubuhkan pasukan khas bagi mengesan suspek sebelum berjaya menahan mereka yang berusia 20 hingga 26 tahun.

“Siasatan awal suspek turut mempunyai 10 rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah dan jenayah harta benda.

“Polis turut merampas kenderaan, pakaian, senjata dan mesin daftar wang untuk membantu siasatan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Menurutnya, suspek menggunakan modus operandi dengan memakai topeng dan mengacukan parang untuk menakutkan mangsa.

Katanya, penahanan kesemua suspek dipercayai berjaya menyelesaikan lima kes samun.

“Kesemua suspek warga tempatan direman sehingga 13 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan,” katanya memetik laporan Harian Metro.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *