Siti Nurhaliza doakan Zamani selamat jalani pembedahan

PENYANYI nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin mendoakan pembedahan tulang belakang yang akan dijalankan ke atas vokalis kumpulan Slam, Zamani pada November ini, dipermudahkan.

“Sebagai rakan artis, sudah pasti saya dan semua mengharapkan Zamani diberi kesembuhan dan dapat kembali beraksi seperti dahulu.

“Saya ucapkan dan doakan, bersama-sama semua orang pun doakan supaya (pembedahan) dipermudahkan dan beliau diberi kesembuhan segera dan dapat kembali beraksi menyanyi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media ‘A Night To Remember’ Bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di Johor Bahru, hari ini.

Zamani, 51, yang menderita skoliosis sejak 2015 itu dijangka menjalani pembedahan membetulkan tulang belakangnya yang melengkung pada November ini.

Sementara itu, Siti Nurhaliza yang bakal mengadakan persembahan eksklusif di Persada Johor pada 18 dan 19 November ini berharap, penganjuran majlis itu berjalan lancar walaupun ada ura-ura akan berlangsung Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Penganjur juga sudah mempunyai perancangan lain sekiranya berlaku bencana tidak diduga seperti banjir.

“Kita membuat perancangan atas apa yang dibincangkan dan jika ada pertukaran yang tidak dijangka seperti PRU dan banjir, itu di luar bidang kuasa kita.

“Tetapi, saya percaya, Persada juga sudah ada pelan B, cuma kita harap perkara-perkara itu tidak mengganggu atau terkena betul-betul pada tarikh persembahan itu nanti,” katanya, lapor Harian Metro.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *