Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
TAN Sri Muhyiddin menyuarakan kebimbangan lebih banyak perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) akan gulung tikar sekiranya kerajaan tidak membantu mereka terutama menerusi Bajet 2023.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata, ini kerana terdapat kira-kira 53 peratus dari 950,000 PKS berdaftar di Malaysia adalah perniagaan milik Melayu dan bumiputera.
“Sekali lagi saya ingin menyaran pihak kerajaan untuk mengambil tindakan segera bagi meringankan beban mereka yang juga terkesan teruk akibat peningkatan kos yang mendadak.
“Untuk memastikan proses pemulihan ekonomi yang sekata dapat dicapai, kerajaan harus memastikan sebanyak mungkin PMKS seluruh negara diberi ‘talian hayat’ untuk mampu bernafas dalam situasi ekonomi yang semakin mencabar.
“Saya risau jika tiada langkah drastik yang diambil kerajaan terutamanya dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan Jumaat ini, lebih banyak lagi PMKS yang terpaksa gulung tikar,” katanya dalam Faecbook miliknya, hari ini.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, apa yang lebih parah lebih ramai rakyat yang mungkin juga akan kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan.
Justeru kata bekas Perdana Menteri, jangan terhantuk baru tengadah dan sebab itu perlu dilakukan sesuatu dengan segera.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, beliau terlibat perbincangan meja bulat bersama Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), semalam.
Perbincangan itu katanya, disertai Ketua Pegawai Eksekutif MPN, Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob bersama Presiden DPMM, Abdul Halim Husin dan barisan pimpinan DPMM.
“Perbincangan meja bulat bertumpukan isu dan cabaran daripada aspek pemulihan ekonomi negara serta cadangan penyelesaian dari perspektif DPMM. Pihak DPMM turut menyuarakan kebimbangan ahli-ahli terutamanya pengusaha perusahaan PMKS mengenai masalah aliran tunai.
“Ini selari dengan saranan yang dibuat Majlis Pemulihan Negara supaya PMKS diberi moratorium khas berikutan sektor-sektor ini masih belum pulih sepenuhnya akibat pandemik COVID-19.
“Situasi ini diburukkan lagi dengan kenaikan Kadar Dasar Semalaman ataupun OPR tiga kali berturut-turut oleh Bank Negara Malaysia pada tahun ini,” kata Ahli Parlimen Pagoh itu.
Pihak DPMM juga katanya, juga menyuarakan kebimbangan ahli-ahli terhadap denda dan penalti pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri yang dikenakan kepada usahawan Melayu yang baru pulih disebabkan pandemik dan berharap pihak LHDN dapat memberi budi bicara dalam perkara ini.
Leave a Reply