KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengambil langkah proaktif dengan menjadikan produk gantian nikotin sebagai bukan racun berkuat kuasa hari ini, bagi membantu perokok yang bermotivasi untuk berhenti merokok, kata Menterinya Khairy Jamaluddin.
Ia dilakukan dengan memberikan pengecualian kepada nikotin daripada kawalan di bawah Akta Racun 1952 bagi produk dalam bentuk koyok atau gula-gula getah yang berdaftar di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah Dan Kosmetik 1984, yang digunakan sebagai bantuan untuk berhenti merokok.
Khairy dalam kenyataan hari ini berkata menerusi pengecualian itu, akses kepada produk gantian nikotin dalam bentuk berkenaan kini menjadi lebih mudah dan meluas menerusi pembelian di kaunter termasuk di kedai runcit atau serbaneka yang membekalkannya, sama seperti amalan di Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada dan Australia.
“Pengecualian ini juga diharap dapat membantu perokok yang bermotivasi untuk berhenti merokok dalam menangani kesan simptom penarikan. Kebergantungan nikotin melalui sediaan koyok dan gula-gula getah didapati kurang memberikan kesan mudarat berbanding kebergantungan kepada nikotin melalui rokok,” katanya.
Menurut Khairy buat masa ini perokok yang ingin berhenti merokok mempunyai akses yang terhad kepada produk gantian nikotin memandangkan nikotin dikawal selia di bawah Akta Racun 1952, yang menetapkan pembekalannya hanya boleh dilakukan oleh ahli farmasi berlesen atau pengamal perubatan berdaftar.
Pengecualian tersebut turut selaras dengan pewartaan Perintah Racun (Pindaan Senarai Racun) 2022 (P.U.(A) 309/2022) pada 5 Okt.- BERNAMA
Leave a Reply