RAKYAT Malaysia yang berjaya melarikan diri selepas menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia terkandas di kaunter imigresen luar negara, tidak mampu pulang ke tanah air kerana tinggal sehelai sepinggang.
Menurut Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Hishamuddin Hashim, mangsa penipuan pekerjaan ini akan dicaj bayaran tinggal lebih masa walhal mereka tidak mempunyai apa-apa lagi sama ada pakaian atau wang.
Disebabkan itu, MHO dan Pertubuhan Keperihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) bersetuju menubuhkan Tabung Kemanusiaan, Selamatkan Rakyat Malaysia untuk membantu menguruskan logistik mangsa selepas diselamatkan sehinggalah melunaskan kompaun tinggal lebih masa kepada imigresen negara terlibat, dan seterusnya berlepas pulang ke tanah air.
“Ada dua kumpulan mangsa. Pertama, mangsa yang ahli keluarganya mempunyai keupayaan untuk membayar kompaun, membayar duit makan. Alhamdulillah, itu yang kita nampak (mereka) boleh balik sekarang ini.
“Yang balik ini semua, yang mampu bayar kompaun. Keluarga tolong bayarkan. Ada juga yang tak balik lagi sebab tak mampu bayar kompaun,” katanya kepada media ketika menunggu ketibaan empat mangsa pemerdagangan manusia di KLIA, lapor Free Malaysia Today (FMT), hari ini.
Hishamuddin dan Presiden MCCC, Musa Hassan kelmarin mengumumkan penubuhan tabung kemanusiaan untuk membantu menguruskan logistik mangsa pemerdagangan manusia sama ada di Laos, Kemboja ataupun Myanmar, yang berjaya melarikan diri sebelum pulang ke negara ini dengan selamat.
Menurut Hishamuddin, rata-rata mangsa yang berjaya diselamatkan tinggal sehelai sepinggang dan mereka tiada wang untuk membayar hotel (tempat persembunyian) mahupun makan minum, sebelum selamat tiba di Malaysia.
“Apabila mangsa diselamatkan, mereka akan diletakkan di balai polis tapi tak boleh duduk lama. Mereka boleh duduk satu atau dua hari kemudian mereka perlu dipindahkan dan duduk di hotel. Kebanyakan mangsa ini sehelai sepinggang, mereka tak ada duit.
“Mereka berhadapan dengan masalah tempat tinggal, makanan (tak ada). Setelah mereka selamat, mereka akan dibawa ke pihak imigresen. Maka, ketika itu akan berlaku kiraan berapa lama mereka ‘overstay’. Sama ada mereka masuk secara tidak sah, mereka kena bayar kompaun tertentu,” tegasnya.
Hishamuddin memberitahu pihaknya sebelum ini meminta secara terbuka kepada kerajaan Malaysia untuk menyediakan dana bagi membantu pengurusan logistik mangsa yang berjaya diselamatkan, namun tiada perkembangan memberangsangkan.
“Kerajaan Malaysia (patut) berikan bantuan dana kepada mangsa. Ini situasi yang tak sama dengan orang yang (dengan sengaja) pergi ‘overstay’, ini situasi mereka menjadi mangsa pemerdagangan manusia. Mana ada mangsa yang ada duit,” tegasnya.
Sementara itu, Musa yang juga bekas Ketua Polis Negara memberitahu, atas keperluan mendesak, tabung kemanusiaan itu terpaksa dilancarkan sebagai inisiatif ‘rakyat menjaga rakyat’.
“Saya sebagai NGO sebelum ini tak pernah minta duit kat sesiapa pun. Kerajaan pun saya tak pernah minta. Tetapi kerana ini kita nak membantu masyarakat yang telah teraniaya jadi kita terpaksa membuat tabung ini untuk membantu.
“Duit ini juga boleh bantu orang di Kedutaan Malaysia di negara tertentu, kerana mereka pun kekurangan kewangan nak buat kerja (menyelamatkan mangsa),” katanya.
Mereka yang berminat membuat sumbangan, boleh menghubungi talian hotline MCCC 01129050000.
MHO sebelum ini lantang mendesak kerajaan pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob lebih proaktif menyelamat dan membebaskan kira-kira 3,000 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia di Laos, Kemboja dan Myanmar.
Mereka juga menghantar memorandum membantah tindakan berdiam diri kerajaan Myanmar berhubung isu berkenaan, namun tidak mendapat respons positif setakat ini.
NGO itu dan MCCCC juga bercadang ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Putrajaya hari ini untuk melaporkan berkaitan sikap Myanmar yang seolah-olah membenarkan negaranya menjadi hab pemerdagangan manusia di rantau Asean.
Leave a Reply