Tangani beg berat: Pemasangan lokar ke sekolah dua sesi dilancar

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini melancarkan pemasangan lokar untuk sekolah dua sesi di seluruh negara khususnya murid tahap satu bagi menyelesaikan isu beg berat yang berlarutan sejak sekian lama.

Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, penyediaan lokar ke sekolah dua sesi itu merupakan satu daripada tujuh inisiatif utama penyelesaian isu beg berat yang digariskan Mac lalu.

Menurutnya, KPM membelanjakan sebanyak RM37.3 juta untuk membekalkan lokar ke 626 buah sekolah dua sesi di seluruh negara.

“Kita ambil pendekatan menyeluruh yang tidak pernah dilaksanakan sebelum ini kerana kita di kementerian menumpukan kepada perkara-perkara struktur yang telah lama tidak diselesaikan.

“Dan Alhamdulillah kita lihat bahawa penyelesaian ini telah menunjukkan satu kesan atau impak yang cukup baik kepada anak-anak kita di sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis penyerahan lokar fasa pertama di Sekolah Kebangsaan Gombak Setia yang turut dihadiri Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Tujuh inisiatif utama penyelesaian isu beg berat yang digariskan KPM 6 Mac lalu ialah Penyediaan lokar; Penyusunan Semula Jadual Waktu; Buku Latihan; Buku Aktiviti dan Buku Kerja; Buku Teks Digital; Pendekatan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dan Kerjasama Dengan JAKIM.

Fasa 2 penyediaan lokar pula akan diperluas kepada murid Tahap 2 iaitu Tahun 4, 5 dan 6 di sekolah rendah beroperasi secara dua sesi serta dijangka dilaksanakan pada 2023.

Dr Radzi memberitahu, pelancaran pembekalan lokar itu merupakan manifestasi KPM yang komited untuk memberikan yang terbaik buat murid sebagai generasi pewaris negara.

Katanya, dengan inisatif itu, murid dapat mengikuti pendidikan secara kondusif dan boleh membantu membentuk karakter atau jati diri menjadi insan yang mampu bersaing di mana sahaja mereka berada.

“Dan sekali lagi saya tegaskan bahawa kami di kementerian komited untuk melaksanakan dan mencari pendekatan terbaik serta memastikan setiap apa yang dijanjikan itu ditunaikan dan dilaksanakan sebaiknya,” katanya.

Sementara itu, Dr Radzi berkata, sebanyak lima daripada 38 buah sekolah dua sesi di Parlimen Gombak telah selesai pemasangan lokar berkenaan.

“InsyaAllah baki sekolah lain kita akan laksanakan dalam dalam masa terdekat,” tambahnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *