POLIS menahan seorang wanita yang bergelar ‘Datuk Seri’ kerana disyaki menyamar sebagai penjawat awam iaitu Pengarah Bahagian Kewangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui rakaman video yang tular dalam media sosial, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita yang juga Setiausaha Bahagian KDN berhubung penularan video berkenaan.
“Menurut pengadu, dia menerima mesej aplikasi daripada kumpulan ‘Pegawai KDN’ bahawa terdapat satu pautan hantaran video dari laman sosial Facebook yang dimuat naik oleh pemilik akaun bernama ‘pseudoscience watch’ pada 3 September lalu.
“Pengadu kemudian membuka pautan itu dan melihat satu rakaman video yang memaparkan seorang wanita yang mendakwa beliau dilantik sebagai Pengarah Kewangan KDN.
“Dalam mesej itu juga mengandungi tangkap layar laman sesawang KDN yang diubah suai dengan menyatakan penama ‘Dato Sri Siti Nur Atiqah Baba’ sebagai Pengarah Bahagian Kewangan KDN,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Wan Kamarul berkata, hasil siasatan dilakukan mendapati pengadu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya.
“Pegawai penyiasat sudah menghubungi pengadu dan memaklumkan dia akan hadir memberikan keterangan di IPD Sepang pukul 9 pagi, hari ini.
“Hasil semakan dilakukan terhadap pautan itu mendapati terdapat satu rakaman video berdurasi satu minit 40 saat yang mendakwa bahawa dirinya dilantik sebagai Pengarah Bahagian Kewangan KDN.
“Semalam semakan dilakukan juga mendapati rakaman itu dimuat naik kira-kira 21 jam lalu dan menerima kira-kira 1,000 komen serta 50,600 tontonan,” katanya.
Beliau berkata, tujuan pengadu membuat laporan adalah bagi menafikan bahawa pihak KDN tidak pernah melantik mana-mana individu secara langsung sebagai Pengarah Bahagian Kewangan KDN dan jawatan itu tidak pernah wujud.
“Susulan itu, suspek berusia 33 tahun ditahan oleh pihak IPD Klang Utara, semalam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
“Suspek direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 7 Oktober nanti bagi membantu siasatan,” katanya seperti dilaporkan BH Online.
Leave a Reply