SEPASANG suami isteri yang baru bernikah maut di sebuah hotel di Jawa Tengah, Indonesia selepas dipercayai makan ubat kuat atau ubat perangsang seks.
Pasangan itu ditemukan tidak bernyawa dalam hotel di kawasan Karangpandan, Karanganyar, Jawa Tengah ketika kakitangan hotel membuat pemeriksaan selepas menyedari mereka terlewat mendaftar keluar, Isnin lalu.
Ketua Subseksyen Unit Pendidikan dan Hubungan Masyarakat Polis Karanganyar, Bripka Aditya Prima Sakti mengesahkan, pasangan masing-masing berusia 30 dan 27 tahun yang berasal dari Mojosongo, Kota Solo itu baharu saja bernikah beberapa minggu lalu.
Katanya, mereka membuat tempahan untuk menginap di hotel itu pada 4.30 petang, Sabtu lalu.
“Mengikut maklumat kakitangan hotel, pasangan itu sempat memohon untuk memanjangkan tempoh masa penginapan mereka sehingga 4 petang, Ahad.
“Namun, pada keesokannya, kedua mereka tiada khabar sehingga kakitangan hotel membuat pemeriksaan dan menemukan kedua-duanya sudah meninggal dunia,” katanya menurut Harian Metro yang memetik laporan Agensi hari ini.
Katanya, bedah siasat mendapati tiada tanda-tanda kekerasan pada tubuh badan mangsa.
“Kedua-duanya meninggal dunia kerana disyaki terlalu banyak mengambil ubat kuat sehingga mengakibatkan denyut jantung laju dan pembuluh darah pecah sebelum meninggal dunia.
“Punca kematian ini diperkukuhkan lagi dengan barang bukti iaitu sisa ubat kuat yang diminum mereka yang ditemukan di bilik hotel itu.
“Sebuah botol suplemen atau ‘ubat kuat’ ditemukan kosong serta satu satu strip ubat kelihatan terbuka dan sudah digunakan,” katanya.
Leave a Reply