Langkah memperkasakan pengajaran dan pembelajaran di TABIKA KEMAS

KETIKA ini pelbagai bentuk pra sekolah atau taman didikan kanak-kanak (TADIKA) wujud di negara ini. Ada bertaraf ‘sekolah antarabangsa’, namun Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) yang diseliakan oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) tetapi menjadi pilihan utama.

Memandangkan dari semasa ke semasa, bidang pendidikan terus mengalami evolusi bersesuaian dengan perkembangan semasa, TABIKA KEMAS juga harus bergerak seiring dengan perubahan.

Sebagai bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid amat memahami tidak kira di peringkat mana sekalipun, penekanan dalam bidang pendidikan amat penting. Justeru itulah salah satu usaha yang beliau lakukan apabila menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar ialah berusaha sebaik mungkin menaikkan imej dan memantapkan TABIKA KEMAS.

Melihat apa yang diberikan penekanan oleh Mahdzir, ternyata ia boleh dianggap usaha mahu mengubah imej TABIKA KEMAS supaya setanding dengan taman bimbingan atau Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA) lain.

Atas sebab itulah pada 30 Oktober tahun lalu, Mahdzir mengumumkan KEMAS akan melaksanakan Pelan Transformasi Digital Pendidikan Awal Kanak-Kanak TABIKA KEMAS tahun ini dalam usaha memberi pendedahan awal dan membantu golongan itu menguasai kemahiran digital.

Kata Mahdzir ketika itu, ia akan menjadi aspirasi pembangunan bakat digital kanak-kanak di TABIKA KEMAS dan jabatan itu telah menyiapkan pelan tersebut yang dijangka memberi manfaat kepada hampir 200,000 kanak-kanak.

“Saya punya kehendak adalah supaya kita mulakan dulu (pelan transformasi itu), berapa banyak (Tabika Kemas) tak kisah, jadi sekurang-kurangnya kita dah mula.

“Kita mahu supaya kanak-kanak yang datang belajar di TABIKA KEMAS akan merasai pengalaman yang menyeronokkan dalam melalui proses pembelajaran berteraskan Literasi Digital kerana ini penting untuk memberi pendedahan dari awal agar kanak-kanak ini berkemahiran digital bagi memenuhi keperluan era digital masa hadapan,” katanya.

Bagi mencapai usaha, pelan yang dirancang merangkumi beberapa strategi antaranya memperluas pembekalan peralatan seperti TV pintar, komputer dan akses Internet bagi mewujudkan persekitaran digital di Tabika Kemas.

Ia juga akan memperkasa pembangunan kandungan bahan pengajaran serta pembelajaran digital melalui kerjasama strategik bersama pelbagai pihak antaranya Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Kementerian Pendidikan.

Pada 26 September lalu, Mahdzir membuktikan kesungguhan beliau dan KPLB apabila Memberitahu kementerian itu akan memohon peruntukan menerusi Bajet 2023 bagi menjadikan TABIKA KEMAS sebagai kelas pintar.

KPLB merancang sekurang-kurangnya 10 peratus daripada 11,000  buah Tabika KEMAS dilengkapi peralatan digital.

“Insya Allah kita fight juga bajet (Bajet 2023) untuk KEMAS  bagi memulakan sekolah di bilik KEMAS ini dengan dipanggil ‘smart classroom’ dengan sekurang-kurangnya dimulakan dengan 800 kelas pintar,’’ katanya.

Apa yang dilakukan oleh Mahdzir dan KPLB amat tepat sekali kerana elemen pendigitalan  dalam pendidikan awal kanak-kanak amat penting ketika ini dan tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada cara pengajaran lama.

 Bagi memastikan guru TABIKA KEMAS berkemampuan mengendalikan pengajaran dan pembelajaran digital, Mahdzir berkata mereka akan diberi latihan antaranya kursus anjuran Kemas dengan kerjasama MDEC bagi meningkatkan kemahiran digital masing-masing.

Sebelum ini beliau sudah mengumumkan sebanyak RM1 juta diperuntuk bagi tujuan latihan dan pembekalan peralatan digital kepada hampir 10,416 Pendidik Masyarakat TABIKA KEMAS dan 10,833 kelas taman bimbingan kanak-kanak itu di seluruh negara.

Namun begitu biarpun TABIKA KEMAS akan ke arah pembelajaran digital, Mahdzir menasihatkan ibu bapa tidak perlu risau kerana yuran pembelajaran atau sumbangan daripada ibu bapa bagi TABIKA KEMAS tidak akan dinaikkan sebaliknya ia kekal dan tidak melebihi RM30 sebulan. Selebihnya adalah ditanggung oleh kerajaan melalui subsidi sebanyak RM20 juta setahun.

Selain pembelajaran digital, KEMAS turut akan memperuntukkan RM1 juta bagi melaksanakan program Pintar Botani melibatkan 500 buah TABIKA KEMAS di seluruh negara mulai tahun depan.

 Modul Pintar Botani itu adalah aktiviti luar bilik darjah yang menerapkan aspek Sains dan Teknologi serta Amalan Gaya Hidup Sihat melalui makanan seimbang dan berkhasiat.

“Program ini adalah aktiviti mengindahkan persekitaran TABIKA KEMAS dengan mendidik kanak-kanak menanam pokok sayur-sayuran serta buah-buahan dan hasil tuaiannya boleh dimasukkan dalam menu makanan di TABIKA KEMAS yang disediakan oleh pembantu Pemaju Masyarakat Sukarelawan.

‘’Ini sekaligus menjadi usaha KEMAS untuk memastikan kanak-kanak mendapat zat makanan yang seimbang agar tahap kesihatan fizikal dan mental kanak-kanak yang lebih baik selain mereka mendapat pengalaman yang menyeronokkan sepanjang belajar di TABIKA KEMAS,” kata Mahdzir, kelmarin.

Apa yang akan dilakukan oleh KEMAS itu menepati pepatah ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’, ia memandangkan seperti mana kata Mahdzir  aktiviti di luar bilik darjah menerusi Modul Pintar Botani itu juga akan membantu pembentukan pemikiran kreatif dan sifat bekerjasama dalam kalangan kanak-kanak.

 “Program Pintar Botani ini bukan sahaja dapat mengoptimumkan tanah dan menceriakan kawasan TABIKA malah menjadikan persekitaran TABIKA KEMAS lebih menarik dengan penyediaan landskap serta tumbuhan hijau seperti sayur-sayuran dan pokok buah-buahan yang akan ditanam,’’ katanya.

Ternyata biarpun KPLB mempunyai pelbagai agensi lain namun perkembangan pendidikan sentiasa di hati Mahdzir dan kini ia sudah terbukti melalui pelbagai usaha yang beliau lakukan bagi meningkatkan taraf dan imej TABIKA KEMAS.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *