DUN Selangor, N. Sembilan dan P. Pinang tidak dibubar tahun ini

DEWAN Undangan Negeri (DUN) di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang hanya akan dibubarkan tahun depan iaitu pada satu tarikh yang akan diumum kelak, menurut Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

Majlis Presiden PH dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu diperoleh menerusi satu perbincangan dengan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow pada hari ini berhubung isu tarikh pembubaran DUN di negeri berkenaan.

Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media di bangunan Parlimen di sini berkata pendirian pemimpin di ketiga-tiga negeri itu adalah menumpukan perhatian menangani permasalahan banjir dan meringankan beban mangsa yang terpaksa berdepan bencana itu.

“Oleh yang demikian, mereka (negeri berkenaan) tidak akan mengadakan pilihan raya sehingga selesai isu banjir dijangka Februari, Mac dan mereka ada ruang atau wewenang untuk menetapkan (tarikh) selepas itu.

“Pokoknya (negeri berkenaan) tidak akan bersama dengan Kerajaan Persekutuan seandainya pilihan raya diadakan semasa banjir kerana pada anggapan Ketua Menteri Pulau Pinang, Menteri Besar Selangor dan Negeri Sembilan mereka tidak harus tambah derita dan penderaan kepada rakyat yang terpaksa mengharungi masalah banjir,” katanya.

Kenyataan Majlis Presiden PH berkenaan dikeluarkan secara bersama oleh Anwar yang juga Presiden PKR, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau. 

Sementara itu, Anwar mengumumkan PH bersetuju menggunakan logo baharu, namun gabungan itu akan menggunakan logo lama untuk pilihan raya akan datang sekiranya diadakan dalam masa terdekat kerana kesukaran melibatkan logistik.

“Maknanya soal logo ini tidak perlu dibincangkan lagi… saya ucap terima kasih kerana ketua-ketua parti PH itu menghargai pandangan, kita juga bersama dan bersetuju tetapi kepentingan kita ialah untuk menghadapi pilihan raya segera,” katanya.

Berkenaan perkembangan penyertaan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dalam PH, Anwar berkata perkara itu masih dalam perbincangan.

Pada 21 Sept, Majlis Presiden PH dilaporkan memaklumkan bersetuju membentuk satu jawatankuasa bagi mengadakan rundingan dengan MUDA dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

Majlis Presiden PH memaklumkan jawatankuasa berkenaan dianggotai oleh seorang wakil dari setiap parti komponen gabungan itu iaitu Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR), Steven Sim Chee Keong (DAP), Mohd Hasbie Muda (Amanah) dan Datuk Ewon Benedick (UPKO).- BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *