Azmin sifatkan UMNO ‘tidak berhati perut’ mahu PRU ketika musim banjir

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali  menyifatkan langkah UMNO yang tergesa-gesa mahu mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sebagai ‘tidak berhati perut’ kerana tidak memikirkan nasib rakyat yang berdepan kesusahan memandangkan musim banjir semakin dekat.

“Kata nak bubar Jumaat pagi ini, kenapa tergesa-gesa sangat ni… Kita (PN) sudah buat kenyataan terbuka supaya rakyat Malaysia tahu kita bantah sebarang cadangan pembubaran pilihan raya pada tahun ini. Sebab rakyat sedang susah… tak ada hati perut,” katanya ketika berucap pada program PN Selangor malam ini.

Azmin mendakwa kumpulan terdesak dalam UMNO sebagai punca PRU-15 bakal diadakan pada masa terdekat sehingga tidak mengendahkan nasib rakyat.

“Tetapi sekarang rakyat sudah tahu yang terlalu terdesak untuk mengadakan pilihan raya ini adalah sekumpulan manusia yang sedang dibayangi masalah mereka sendiri,” katanya lagi.

Menurut Azmin lagi, hasil perancangan kerajaan PN sebelum ini semasa sedang berdepan cabaran pandemik, Covid-19 sudah membuahkan hasil malah pertumbuhan ekonomi negara sudah menunjukkan kesan positif.

“Hari ini saudara Bank Negara baru saja membuat pengumuman pertumbuhan ekonomi tahun kedua tahun ini sudah mencatatkan 8.9 peratus. Tahniah Perikatan Nasional, orang lain jangan ambil kredit,” katanya.

Semalam satu perjumpaan tertutup UMNO diadakan di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Ia melibatkan 764 pemimpin sayap 191 bahagian yang terdiri daripada Ketua UMNO Bahagian, Ketua Wanita UMNO, Ketua Pemuda UMNO dan Ketua Puteri UMNO.

Perjumpaan tersebut disifatkan yang terakhir sebelum pembubaran Parlimen pada Jumaat ini selepas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong esok.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *