Polis kesan 2 hingga 3 individu kes culik Azie

SERAMAI dua hingga tiga individu masih dikesan polis bagi membantu siasatan berhubung kes penculikan ejen jualan barangan kosmetik, Rosnazirah Mohd. Naim.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, identiti kesemua individu terbabit sudah dikenal pasti namun polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mendapatkan pengesahan sebelum dapat dikongsikan dengan pihak berkuasa di Thailand.

Beliau berkata, kesemua mereka yang merupakan warga tempatan itu dipercayai mempunyai kaitan dalam kes penculikan tersebut.

“PDRM masih lagi menjalankan siasatan dan memeriksa segala keterangan yang ada untuk memastikan duduk sebenar kes ini.

“Kita memohon media bersabar dan memberi sedikit masa lagi supaya kita betul-betul dapat ‘establish’ motif sebenar di sebalik kejadian melarikan mangsa ini,” katanya hari ini.

Pada soalan sama ada PDRM akan memohon supaya suspek kes berkenaan yang ditahan di negara jiran akan diekstradisi, Acryl Sani berkata, proses tersebut akan dibuat menerusi saluran undang-undang.

Dalam perkembangan berasingan, ketika ditanya berkenaan situasi kes penculikan kanak-kanak dan penjualan organ yang disensasikan di media sosial, Acryl Sani berkata, siasatan polis mendapati kebanyakan kes tersebut adalah palsu.

Jelas beliau, maklumat lanjut mendapati kes-kes tersebut adalah tidak benar dan sengaja diada-adakan serta disebarkan oleh pihak tertentu bagi tujuan yang tidak dapat dipastikan.

“Melainkan kes penculikan di Genting Highlands, itu pun saya tidak boleh komen kerana sekarang sedang melalui proses perbicaraan, jadi biar mahkamah tentukan motif sebenar di sebalik kejadian itu.

“Tetapi selain kes itu, semua laporan yang berkaitan kes culik kanak-kanak dan penjualan organ yang kita terima adalah tidak berasas,” katanya.

Bagaimanapun Acry Sani berkata, beliau melihat penyebaran kes-kes sebegitu secara tidak langsung telah meningkatkan kesedaran ibu bapa dan masyarakat terhadap keselamatan kanak-kanak dan anak-anak masing-masing.

“Tetapi jangan sampai pula kita terbabit dalam menyebar luas berita tidak benar yang boleh mendatangkan kegusaran kepada masyarakat umum,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *