NGO mohon Agong tidak perkenan PRU tahun ini

BEBERAPA pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berharap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak memperkenan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan pada tahun ini.

Presiden Persatuan Anak Muda Johor, Wilayah Persekutuan dan Selangor, Najmudin Mahmood berkata, tindakan mahu menyegerakan PRU-15 hanyalah cita-cita politik sesetengah pihak.

Malah, katanya sikap sebilangan ahli-ahli politik mahu menyegerakan PRU-15 merupakan tindakan tidak cakna nasib rakyat yang terbeban dengan masalah ekonomi, selain bencana banjir yang bakal melanda negara hujung tahun ini.

“Rakyat mohon perkenan Tuanku menolak usaha menyegerakan PRU-15 dalam keadaan semua orang dihimpit kesusahan serta risiko bencana banjir yang bakal melanda negara,” katanya ketika dihubungi SatuBerita pada Isnin.

Beliau diminta mengulas laporan media menyatakan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka menghadap Seri Paduka Baginda bagi mendapatkan perkenan membubarkan Parlimen.

Ini susulan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang mahu PRU-15 diadakan pada tahun ini juga.

Sementara itu Pengerusi Pertubuhan Ikatan Wanita Prihatin, Hamsatul Azura mengakui mandat perlu dikembalikan kepada rakyat, namun kebajikan rakyat lebih penting.

“Kebajikan rakyat lebih penting daripada pilihan raya itu sendiri. PRU masih lagi boleh ditangguhkan sehingga tamat penggal pada tahun depan.

“PRU-15 ini kita sebagai rakyat juga dapat tahu ianya sekadar kepentingan peribadi pemimpin yang ada bukan kepentingan untuk rakyat,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau yakin Seri Paduka memiliki kebijaksanaan untuk membuat keputusan yang terbaik demi rakyat.

“Andai kata Perdana Menteri menghadap Seri Paduka untuk mohon bubarkan Parlimen, saya percaya dan yakin Tuanku akan membuat pertimbangan yang terbaik demi memastikan kehidupan rakyat tidak terjejas,” katanya.

Hamsatul berkata, antara faktor PRU-15 tidak wajar diadakan pada tahun ini kerana banyak pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir juga merupakan pusat mengundi, sekaligus menyukarkan proses bantuan kepada mangsa dan pengundian menjadi sukar.

“Keduanya dari sudut perbelanjaan, kita semua tahu bahawa pilihan raya memerlukan perbelanjaan yang besar. Pada saya, adalah lebih baik sekiranya kos yang dikeluarkan oleh negara untuk PRU, ditumpukan untuk pemulihan serta untuk kegunaan bantuan kepada mangsa banjir kelak.

“Ketiga adalah dari segi petugas. Jika berlakunya PRU, anggota keselamatan perlu bertugas di setiap saluran mengundi. Andai kata pada ketika itu ada bencana banjir, adakah pasukan-pasukan keselamatan boleh bertugas di dua tempat pada masa yang sama,” ulasnya lagi.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *