Nelayan jatuh sampan dijumpai maut di Pulau Jerejak

SEORANG nelayan yang dikatakan terjatuh dari sampan ketika menangkap ikan di perairan Jelutong, Pulau Pinang pada petang Sabtu lalu ditemukan maut di pantai Pulau Jerejak semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi melalui MERS 999 mengenai penemuan satu mayat disyaki lelaki terdampar di pantai Pulau Jerejak, pukul 12.45 tengah hari semalam.

Hasil maklumat yang diterima jelasnya, bot ronda KILAT 26 telah diatur gerak ke lokasi dan menemukan satu mayat lengkap berpakaian terdampar di pantai Pulau Jerejak.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke jeti Polis Marin Batu Uban seterusnya diserahkan kepada Balai Polis Sungai Nibong dan dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat serta siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, tular dalam media sosial mengenai seorang nelayan yang dikatakan terjatuh di laut ketika sedang keluar menangkap ikan.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke jeti Polis Marin Batu Uban seterusnya diserahkan kepada Balai Polis Sungai Nibong dan dibawa ke Hospital Pulau Pinang

Menurut Abd. Razak, siasatan awal yang diterima daripada pihak polis menyatakan mangsa disyaki Mohd. Shahrul Mansor, 37, beralamat di Simpang Empat, Pulau Pinang dipercayai terjatuh dari sampan ketika cuaca buruk di perairan Jelutong ketika keluar menangkap ikan.

“Ini adalah berdasarkan laporan polis yang diterima oleh Balai Polis Jelutong selepas kejadian tersebut dan pihak Maritim Malaysia tidak mendapat sebarang makluman awal berhubung kejadian ini,” katanya.

Tambahnya, Maritim Malaysia mengingatkan komuniti maritim tidak ke laut sekiranya cuaca buruk dan sekiranya keadaan mendesak, mereka dinasihatkan mengutamakan keselamatan dengan sentiasa memakai jaket keselamatan memandangkan keadaan cuaca di laut pada masa ini kurang baik.

“Kita juga sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada komuniti maritim dan sebarang kecemasan di laut boleh dilaporkan terus ke talian Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang 04-2626146 atau MERS 999,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *