RENJATAN elektrik daripada mikrofon yang menyentuh wajah dibasahi peluh hingga mulut kebas, didakwa punca penyanyi, Noh Salleh meludah di pentas Konsert Hausboom Music 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor, kelmarin.
Mengulas rakaman video memaparkan aksi Noh yang tular sejak malam tadi, pengurus kumpulan Hujan, Ahmad Ariffin Ahmad, berkata ketika itu, berlaku beberapa masalah teknikal yang didakwa menjejaskan persembahan Noh di pentas.
“Noh sepatutnya tampil dengan gitar. Namun, disebabkan masalah teknikal, dia terpaksa menyanyi tanpa memetik gitar.
“Pada masa sama, mikrofon dipegang mengalami masalah. Ketika meletakkan mikrofon berhampiran mulutnya, Noh terkena sedikit renjatan elektrik.
“Ini terhasil kerana wajahnya dibasahi peluh dan air menyebabkan mulutnya kebas. Bagi mengalih rasa sakit, Noh secara spontan meludah di atas pentas.
“Dakwaan konon Noh meludah ke arah penonton tidak benar. Sebaliknya, dia meludah atas pentas.
“Jarak antara pentas dan penonton juga kerana dipisahkan besi penghadang, jadi tidak mungkin (ludah) terkena penonton.
“Jika Noh ludah ke atas, mungkin tempias air liur kena kepada penonton. Sebab itu, Noh tunduk.
“Namun, jika ada yang terkena tempias ludah Noh, kami mohon maaf kerana perkara itu tidak disengajakan,” katanya, lapor BH Online.
Sejak malam tadi, tular rakaman video memaparkan aksi Noh meludah di atas pentas ketika membuat persembahan.
Aksi Noh mengejutkan peminat yang tertanya-tanya mengapa bekas suami usahawan dan aktivis masyarakat, Mizz Nina menunjukkan gelagat sedemikian.
Sebelum ini, Noh menimbulkan kekecohan apabila tampil dengan sebatang rokok di pentas Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW).
Ariffin berkata, suasana pada konsert itu panas hingga berlengas.
“Sebelum naik ke pentas, kita sudah buat (kemaskan) rambut Noh.
Tetapi dengan 13,000 penonton dan dewan yang panas seperti sauna dan berlengas, tidak mungkin Noh dapat kekalkan imej itu.
“Biar apapun, kami berterima kasih kepada orang ramai yang prihatin dan sentiasa ingin tahu perkembangan Noh serta mendoakan kesejahteraannya.
“Mungkin Noh tampak serabut kerana kami sedang membuat persiapan Konsert Hujan Rumah Kita pada 5 November depan,” katanya.
Ariffin berharap orang ramai tidak membuat telahan dan tuduhan bukan-bukan terhadap Noh hanya atas rakaman video viral itu.
Sementara itu, ditanya apakah kontroversi itu menjejaskan jualan tiket Konsert Hujan Rumah Kita yang bakal berlangsung di Stadium Tertutup Malawati, Shah Alam, Ipin berkata, setakat ini sambutan tiket menggalakkan.
“Sekarang, boleh dikatakan setiap minggu ada sahaja konsert atau festival muzik berlangsung.
“Jadi, sedikit sebanyak beri kesan kepada penjualan tiket konsert Hujan. Namun, bukanlah bermakna tiket Hujan tidak terjual, cuma beri sedikit impak.
“Ini secara tidak langsung memberi tekanan kepada kami yang rancak memikirkan bagaimana hendak tampil dengan konsert berbeza,” katanya.
Leave a Reply