Istana Negara nafi PM menghadap Agong hari ini

ISTANA Negara menafikan laporan yang mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, akan menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk memohon pembubaran Parlimen hari ini.

Perkara itu disahkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, hari ini.

“(Ia) berita palsu. Tuanku masih di Singapura,” katanya melalui WhatsApp kepada portal berita FMT.

Sementara itu, jurucakap di Pejabat Perdana Menteri yang dihubungi pagi tadi turut menafikan Ismail Sabri akan ke Istana Negara.

“Tiada dalam jadual. Hanya mesyuarat saja hari ini,” katanya ringkas.

Dakwaan kononnya Ismail Sabri akan mengadap Yang di-Pertuan Agong hari ini dinyatakan seorang blogger yang baru dipecat keahlian dari UMNO, sebelum kenyataannya itu dilaporkan oleh media selain turut diulang siar dalam media sosial.

Spekulasi pembubaran Parlimen bertiup kencang ketika ini sungguhpun Perdana Menteri masih berteka-teki untuk mengumumkan bila pembubaran akan diumumkan.

Ismail Sabri yang ditemui media pada satu majlis baru-baru ini meminta semua pihak menunggu pengumuman rasmi mengenai pembubaran Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan dalam tempoh terdekat.

Jangkaan PRU akan diadakan tahun ini kembali dibangkitkan susulan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Jumaat yang meminta supaya PRU diadakan dalam tahun ini atau sebelum musim tengkujuh.

Datuk Seri Ahmad Maslan melalui kenyataan selepas mesyuarat MKT UMNO memaklumkan ketetapan dibuat supaya PRU15 diadakan pada tahun ini dan Perdana Menteri akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *