Badan bergelimpangan, teriakan, tangisan wanita – Penyokong Arema FC

DETIK terendah sebagai penyokong, begitulah luahan hati seorang pengikut tegar kelab bola sepak Liga 1 Indonesia, Arema FC.

Semalam, berlakunya rusuhan penyokong ketika perlawanan Liga 1 Indonesia antara Arema FC dan Persebaya Surabaya di Stadium Kanjuruhan, Malang mengakibatkan 127 nyawa terkorban.

Dalam perlawanan ‘derbi’ hangat itu, Arema FC tewas 3-2 menyebabkan penyokong kedua-dua kelab berkenaan bertempur di tengah padang.

Dalam perkongsian @RezqiWahyu_05 di Twitter, beliau sangat terkesan dengan perkara yang disaksikannya secara langsung.

“Penyokong tempang bergelimpangan, menjerit dan wanita menangis. Orang berlumuran darah, kereta musnah, caci-cacian… batu bata, besi berterbangan,” ciapnya.

Menurut Rezqi, ketegangan berlaku apabila tiupan wisel akhir berkumandang, menyebabkan sesetengah penyokong tidak dapat menerima kekalahan.

“Kelihatan seorang penyokong dari arah selatan nekad masuk ke padang untuk mendekati permain Sergio Silva dan Maringa, kemudian ada beberapa penyokong lagi berjaya masuk untuk berkongsi kekecewaan kepada pemain.

“Semakin ramai penyokong berkumpul, keadaan tidak terkawal. Serta objek dilempar ke dalam padang dan peminat hilang kawalan, akhirnya pemain diiring masuk ke dalam bilik persalinan,” katanya.

Selain itu, keadaan yang tidak terkawal membuatkan pihak polis menembak gas pemedih mata kepada penyokong di dalam padang.

“Keadaan semakin kecoh kerana gas pemedih mata, penyokong panik dan berlari keluar mencari pintu namun pintu sudah sesak.

“Ramai ibu mempunyai anak kecil yang kelihatan pasrah, tidak berdaya, tidak dapat menyertai orang ramai untuk keluar dari stadium,” ujarnya.

Tambahnya, tersekat di dalam stadium bersama gas pemedih mata menjadi punca kepada keganasan antara penyokong dan pihak polis.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *