PAS Ahmad

UMNO yakin pandangan Kabinet berkait PRU-15 ‘selesai’ – Ahmad Maslan

SETIAUSAHA Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berpendapat, parti itu mahu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan selepas yakin isu pandangan Kabinet berhubung perkara itu sudah ‘diselesaikan’.

“Keputusan mengadakan PRU-15 pada tahun ini juga dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga naib presiden UMNO.

“UNMO bukan mahu mengambil kuasa mahu pun mendahului Kabinet, namun oleh kerana perdana menteri adalah sebahagian pemimpin tertinggi parti, maka ia perlu membuat keputusan bersama.

“Oleh kerana Perdana Menteri daripada UMNO, maka kita nyatakan pendirian berkaitan mengenai PRU-15. Yang akan menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan juga adalah perdana menteri.

“Atas sebab itu, UMNO perlu buat keputusan yang memandu ke arah PRU-15, bukan parti lain. Kita harap panduan dibuat itu akhirnya berjaya membawa kepada pilihan raya diadakan.

“Dalam urusan Kabinet itu tentunya sudah diselesaikan. Walaupun saya tiada dalam Kabinet, namun MKT (Majlis Kerja Tertinggi) ada diberi gambaran mesyuarat Kabinet,” katanya menurut FMT yang memetik laporan Berita Harian.

Semalam, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata perdana menteri perlu berbincang terlebih dahulu dalam Kabinet berhubung pembubaran Parlimen bagi membolehkan PRU15 diadakan.

Beliau dilaporkan berkata, Jemaah Menteri boleh memberikan pandangan berhubung perkara itu sebelum Perdana Menteri membawa cadangan itu kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan.

“Perdana menteri kena bawa ke Kabinet, biar Kabinet putuskan,” katanya.

Jumaat lalu, MKT UMNO membuat ketetapan supaya PRU15 diadakan pada tahun ini.

Ahmad dilaporkan, berkata susulan keputusan itu, perdana menteri akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *