Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor

Ucapan selamat datang Sanusi undang keriuhan di media sosial

Oleh BADLISHAH MAT

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor hanya mengucapkan ‘selamat datang ke utara’ di Facebook miliknya.

Namun, hantaran itu tetap mencetuskan fenomena apabila pengikutnya mengaitkan dengan pertembungan Liga Super yang dinanti-nantikan peminat bola sepak tanah air.

Meskipun Johor Darul Ta’zim (JDT) sudah dinobatkan sebagai juara buat kali kesembilan berturut-turut di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor semalam, perlawanan menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC di Alor Setar itu nanti akan tetap menjadi tumpuan ramai.

“Assalamualaikum. Selamat pagi semua. Selamat datang ke utara,” demikian tulis Muhammad Sanusi sambil memuat naik sekeping gambar yang memaparkan beliau sedang tersenyum hari ini.

Walaupun tiada penerangan lanjut, hantaran tersebut diteka warganet sebagai ucapan selamat datang kepada pasukan bola sepak Harimau Selatan yang akan berkunjung ke Stadium Darul Aman di Kedah pada Selasa ini.

Perlawanan asal tersebut sepatutnya berlangsung pada 19 Jun lalu, namun terpaksa ditunda kerana memberi laluan kepada KDA yang sedang beraksi dalam saingan Piala AFC ketika itu.

Muhammad Sanusi yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) sebelum ini lantang bersuara mengenai beberapa ‘kepincangan’ dalam sukan kegemaran rakyat Malaysia itu yang dikaitkan dengan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Malah dalam ucapannya pada Khamis lalu, beliau menegaskan bukan sengaja menimbulkan ketegangan apabila dilihat sering mengkritik individu tertentu dalam arena bola sepak negara, sebaliknya memaklumkan tidak gentar untuk menyatakan kebenaran.

“Saya bukan saja-saja cari pasai. Saya nak habaq kepada seluruh negara kalau badan tertinggi bola sepak takut kepada seorang sahaja, lagu (macam) mana bola sepak nak berkembang di tempat lain?

“Bukan boleh takut dan kalau kita bersuara tentang hak dan kebenaran, bukan kita derhaka. Ini bukan pasal pemerintahan atau politik, ini pasal bola, itulah saya sendiri bercakap tentang bola sepak.

“Ada orang tak faham, cakap Datuk Seri itu saja cari pasai. Saya cari pasai sebab ada pasai. Saya tak takut dengan siapa-siapa pun. Saya takut kat Tuhan saja. Jadi tuan-tuan ada mesej yang saya sedang sampaikan,” katanya.

Maka, perlawanan antara KDA dan JDT nanti sudah tentu dianggap sebagai pertembungan sengit walaupun sebarang keputusan tidak akan memberi impak besar kepada kedua-dua pasukan dengan KDA kini berada di tangga keenam Liga Super.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *