SERAMAI 27 penganut agama Hindu maut semasa dalam perjalanan pulang dari sebuah kuil di India selepas traktor yang menarik troli dinaiki mereka terbalik dan terjunam ke dalam sebuah kolam.
Kejadian itu berlaku semalam di bandar Kanpur, di negeri utara Uttar Pradesh, India yang turut menyebabkan 22 lagi cedera, menurut Astro Awani yang memetik laporan The Times of India.
Menurut laporan, troli ditarik traktor itu membawa pulang jemaah beragama Hindu dari kuil Chandrika Devi.
Media India melaporkan kebanyakan mangsa maut merupakan wanita dan kanak-kanak.
Perdana Menteri India, Narendra Modi mengucapkan takziah dalam tweet terbaharunya sejurus selepas kejadian.
“Tertekan dengan nahas traktor-troli yang berlaku di Kanpur.
“Ingatan saya dituju kepada mereka yang kehilangan orang terdekat dan tersayang serta doa buat mereka yang cedera,” tulis Modi.
Sementara itu, Ketua Menteri Uttar Pradesh Yogi Adityanath berkata, kenderaan sebegitu sepatutnya hanya digunakan untuk mengangkut barangan ladang dan pengangkutan, bukan manusia.
Difahamkan operasi mencari dan menyelamat telahpun selesai dan siasatan akan punca kejadian sedang dijalankan.
Leave a Reply