Maritim Malaysia tahan lapan nelayan tempatan langgar syarat lesen

Oleh BADLISHAH MAT

LAPAN nelayan tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kerana disyaki melakukan kesalahan melanggar syarat sah lesen dalam pemantauan Op Aman di kedudukan 0.4 batu nautika timur laut Pulau Bunting, Yan di Kedah semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Bagan Tiang, Perak itu ditahan kira-kira pukul 11.13 pagi.

Katanya, pemeriksaan yang dilakukan Maritim Malaysia mendapati, bot tersebut melakukan dua kesalahan dengan satu daripadanya adalah melanggar kawasan aktiviti perikanan yang telah ditetapkan.

“Selain itu, lesen menangguk siput milik mereka juga telah tamat pada 2020,” katanya dalam satu kenyataan di Alor Setar, Kedah, hari ini.

Noor Azreyanti berkata, dianggarkan terdapat kira-kira 700 kilogram siput dalam bot tersebut ketika ditahan pihaknya.

Dianggarkan terdapat kira-kira 700 kilogram siput dalam bot tersebut ketika ditahan pihak maritim

Katanya, operasi pemantauan itu dijalankan berikutan aduan awam yang diterima Maritim Malaysia mengenai kehadiran beberapa bot nelayan tempatan yang bernombor pendaftaran dari negeri Perak di lokasi terbabit.

“Mereka yang ditahan berusia antara 17 hingga 56 tahun. Kesemua individu terlibat serta barangan dirampas terdiri daripada bot, enjin berserta hasil tangkapan yang keseluruhannya bernilai RM21,050 dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah,” katanya.

Menurutnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen.

“Jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Pihak kami mengalu-alukan aduan mengenai sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut dengan maklumat boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *