Batu Puteh

Laporan akhir isu Batu Puteh dibentang kepada Kabinet 7 Oktober

LAPORAN akhir Pasukan Petugas Khas Semakan Undang-Undang Kes Kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan akan dibentangkan kepada Kabinet pada 7 Oktober ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, laporan akhir berkenaan mengandungi syor-syor mengenai hala tuju kerajaan berhubung kes melibatkan Batu Puteh.

Menurut beliau, penubuhan dan pelaksanaan Pasukan Petugas Khas sepanjang hampir sembilan bulan merupakan bukti jelas komitmen kerajaan memastikan kedaulatan negara sentiasa terjamin.

Katanya, pasukan petugas khas terdiri daripada peguam tempatan yang mengendalikan kes tersebut pada tahun 2016 hingga 2017.

Selain itu, ia turut diwakili pengamal undang-undang; pakar pengukuran maritim dan wakil kementerian serta jabatan yang berkepentingan yang telah selesai melaksanakan tugasan diamanahkan berdasarkan terma rujukan ditetapkan.

“Bagi maksud menjayakan tugasan sepanjang tempoh tersebut, pelbagai pendekatan telah dilaksanakan pasukan petugas khas seperti meneliti dan menyemak dokumentasi serta material berkaitan.

“Di samping itu, pasukan petugas khas juga mengadakan siri perbincangan atau mesyuarat dan lawatan kerja dalam serta luar negara; khidmat konsultasi bersama pakar perundangan dan juruhidrografi luar negara serta sesi temu bual dengan individu yang dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Utusan TV.

Pada Oktober tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan pelantikan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebagai pengerusi pasukan petugas khas bagi tujuan semakan semula undang-undang berkenaan isu Pulau Batu Puteh.

Selain Mohamed Apandi, PPK turut dianggotai peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, Datuk Dr Baljit Singh Sidhu, Datuk Abu Bakar As-Sidek, Datuk Mohd. Sidek dan Datuk Tengku Ahmad Fuad Tengku Ahmad Burhanuddin, peguam; bekas Duta Besar Malaysia ke The Hague, Datuk Ahmad Nazri Yusof; wakil Kerajaan Johor, Datuk Mohammed Ridha Datuk Abd Kadir; wakil Jabatan Peguam Negara, Datuk Umar Saifuddin Jaafar, wakil Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, Hamdan Ab. Aziz dan wakil Kementerian Luar, Shaharudin Onn.

Pada 23 Mei 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia, selain memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Batu Puteh akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.

Malaysia memfailkan permohonan semakan pada 2 Februari 2017 dan pada 30 Jun tahun sama, supaya mahkamah mentafsirkan penghakimannya berhubung kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang diputuskan pada 23 Mei 2008.

Permohonan semakan itu difailkan berdasarkan penemuan baharu Malaysia melalui tiga dokumen penting menunjukkan pegawai tertinggi Singapura, tidak pernah menganggap ia memperoleh kedaulatan terhadap Batu Puteh di bawah Johor.

Dua daripada dokumen itu yang hanya boleh diakses kepada awam selepas ICJ memberikan penghakimannya juga menunjukkan pegawai Tentera Laut British mengakui perairan di pulau itu milik Johor.

Bagaimanapun, Malaysia terlepas peluang untuk mendapatkan semula Pulau Batu Puteh selepas Perdana Menteri Ke-7, Tun Dr. Mahathir Mohamad membuat keputusan untuk menarik balik semakan dan pentafsiran penghakiman, berhubung kes kedaulatan pulau itu serta Batuan Tengah dan Tubir Selatan beberapa hari sebelum kes dibicarakan di ICJ pada 11 Jun 2018.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *