Krisdayanti simpati nasib mangsa rusuhan bola sepak

PENYANYI Krisdayanti, 47, menzahirkan rasa sedihnya terhadap insiden tragis meragut lebih 127 nyawa akibat rusuhan di perlawanan bola sepak di Malang, Jawa Timur.

Krisdayanti atau nama sebenarnya Kris Dayanti Trenggono mendoakan semua korban ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.

Tulisan di Instagram beliau.

“Tak ada bola sepak yang seharga nyawa. Innalillahiwainnailihirajiun. Dari lubuk hati yang paling dalam, saya turut berduka cita sedalam-dalamnya atas kejadian yang menimpa pecinta sepak bola Tanah Air di Stadium Kanjuruhan, Malang.

“Semoga 127 korban jiwa yang meninggal mendapatkan tempat terbaik di sisi Allah SWT serta keluarga ditinggalkan diberi ketabahan,” katanya menerusi laman sosial Instagram miliknya lapor Harian Metro.

Terdahulu, Ketua polis Indonesia di wilayah Jawa Timur, Nico Afinta berkata seramai 127 orang terkorban dan 180 lagi cedera dalam insiden membabitkan perlawanan antara pasukan Arema FC dan Persebaya Surabaya.

Penonton merempuh masuk ke dalam padang ketika kekecohan penyokong yang berlaku dalam perlawanan liga bola sepak negara berkenaan.

Penyokong Arema dan Persebaya bertempur selepas Arema tewas 3-2 dalam perlawanan berkenaan sebelum penyokong Arema masuk ke dalam padang dan pihak berkuasa terpaksa melepaskan gas pemedih mata.

Sekali gus mengakibatkan lebih ramai penonton merempuh masuk dan berlakunya kes sesak nafas.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *