Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
KASTAM Johor merampas dan menyita sebuah kontena dengan muatan rokok seludup dari China bernilai lebih RM10 juta selepas melakukan pemeriksaan di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Gelang Patah, Iskandar Puteri pada 22 September lalu.
Pengarah Kastam Johor, Sazali Mohamad berkata, menerusi pemeriksaan anggota Bahagian Penguatkuasaan Kastam Gelang Patah pada pukul 11.20 pagi, mesin pengimbas telah mengesan imej yang meragukan dalam muatan kontena berukuran 12 meter itu.
“Kontena yang diimport dari luar negara itu dipercayai transit di Bay Pemeriksaan Kastam, PTP. Destinasi terakhir yang diikrar dalam ‘manifest ‘ adalah di
Pelabuhan Kota Kinabalu.
“Semakan ke atas dokumen ‘manifest’ mendapati bahawa kontena tersebut telah diikrar membawa pelbagai jenis barangan antaranya lampu, aksesori komputer, peralatan bakeri, perlatan bayi dan pemanggang BBQ elektrik.
“Pemeriksaan imbasan mendapati imej diimbas tidak sama seperti yang diikrarkan. Hasil pemeriksaan kemudiannya mendapati terdapat 9.18 juta batang rokok putih dengan dua jenama dipercayai tidak berkastam yang diimport dari luar negara,” katanya dalam sidang akhbar di Menara JKDM Johor, Larkin, Johor Bahru, hari ini.
Beliau berkata, rokok itu dipercayai dari China dan kontena itu transit di PTP dianggarkan bernilai RM3.67 juta manakala jumlah duti atau cukai yang terbabit adalah sebanyak RM6.42 juta.
Katanya, keseluruhan nilai rampasan termasuk cukai adalah berjumlah lebih RM10 juta.
Sazali memberitahu, modus operandi sindiket itu adalah dengan membuat pengikraran tidak benar dalam ‘manifest’mereka sebelum menjadikan PTP sebagai lokasi ‘transhipment’ sebelum dihantar ke lokasi lain bagi mengaburi pihak berkuasa.
Kes itu katanya, disiasat mengikut Peraturan 18 Peraturan-Peraturan Zon Bebas (Pindaan) 2019 dan Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967 kerana membuat pengikraran tidak benar dalam manifest dan mengimport barang larangan tanpa permit.
Leave a Reply