Ismail Sabri ditekan supaya bersetuju PRU tahun ini?

Oleh RIZQI ZABIDI

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak mustahil berdepan tekanan oleh partinya sendiri terutamanya dari golongan kluster mahkamah, hingga menyebabkan beliau bersetuju untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), pada tahun ini.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, percakapannya bersama beberapa pimpinan UMNO termasuk dalam kalangan mereka yang berada di Kabinet, tidak bersetuju supaya PRU diadakan pada tahun ini.

Namun katanya, kalangan pemimpin itu mendakwa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta golongan tertentu dalam UMNO terus mendesak supaya PRU-15 segera diadakan.

“Saya boleh spesifikkan siapa yang bercakap dengan saya mengenai hal itu termasuk dalam kalangan Menteri dan Timbalan Menteri. Beberapa hari lalu pun saya terserempak dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim dan saya tahu, beliau juga tidak bersetuju dengan perkara itu.

“Perdana Menteri dalam kenyataannya semalam pun tidak membuat ketetapan bila tarikh pilihan raya tetapi kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan seolah-olah PRU berlangsung tahun ini juga dan disebabkan itu, tidak mustahil untuk UMNO turut menggantung Ismail Sabri seperti nasib dialami Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman serta Ketua Bahagian UMNO Alor Setar, Datuk Yusof Ismail,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar ketika mengadakan lawatan ke Pejabat Jabatan Meteorologi Malaysia di Alor Setar, hari ini.

Ahmad Maslan kelmarin mendakwa, Mesyuarat MT UMNO sepakat memutuskan pembubaran Parlimen hendaklah diadakan dalam masa terdekat bagi membolehkan PRU-15 diadakan pada tahun ini juga.

Ismail Sabri bagaimanapun ketika ditemui media semalam meminta semua pihak menunggu pengumuman rasmi berhubung perkara itu.

Mengulas lanjut Mahfuz berkata, kenyataan dikeluarkan Ahmad Maslan itu seakan cuba mengikat Yang Dipertuan Agong supaya mengadakan PRU tahun ini sedangkan baginda memiliki kuasa untuk menerima atau menolak cadangan Perdana Menteri bagi tujuan itu.

“Mereka tidak hanya memaksa Perdana Menteri malah turut memaksa Yang di-Pertuan Agong. Bagi saya, tindakan sedemikian adalah sesuatu yang tidak wajar,” katanya.

Menjawab dakwaan Shahidan yang mendakwa pembangkang sengaja memainkan naratif banjir kerana mereka belum bersedia berdepan PRU-15, Mahfuz berkata, UMNO mungkin memiliki kelebihan sekiranya PRU diadakan dalam tempoh banjir atau hujan lebat kerana parti itu memiliki aset-aset kerajaan bagi membawa keluar penyokong tegar mereka.

“Namun saya fikir itu hanya salah satu faktor saja. Bagi saya, mereka mahu mengadakan PRU-15 segera hanya kerana nak selesaikan masalah kluster mahkamah saja,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *