politik

DAP mahu Anwar tanding di Perak pada PRU-15

DAP Perak mengalu-alukan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di kerusi Parlimen di Perak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengerusinya, Nga Kor Ming berkata, ketokohan Anwar amat diperlukan dalam usaha memenangkan PH di negeri berkenaan

“Berdasarkan rekod tiga pilihan raya umum sebelum ini, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi oleh parti bertanding amat tipis dan seimbang.

“Oleh kerana itu sebagai pengerusi DAP Perak, demi membantu Perak menang, saya hari ini mengalu-alukan supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di negeri Perak.

“Jika beliau datang, saya yakin bukan sahaja beliau akan menang tetapi akan membantu kita memenangi semula kerajaan negeri Perak. Jangan lupa, negeri Perak ini sudah tiga penggal 50-50,” katanya ketika berucap sempena Konvensyen Tahunan DAP Perak kali ke-21 di Ipoh, hari ini, lapor Sinar Harian.

Hadir menyempurnakan konvensyen itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

Sementara itu, mengulas perkara sama ketika sidang akhbar selepas konvensyen, Kor Ming berkata, DAP tidak menetapkan lokasi khusus untuk Anwar bertanding.

Katanya, pelawaan tersebut dibuat untuk memberi kelebihan kepada negeri Perak jika Anwar menjadi Perdana Menteri.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *