Armada sifatkan UMNO ‘gila’ desak PM buat PRU15 tahun ini

UMNO dilabelkan sebagai sebuah parti ‘gila’ kerana mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen bagi mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada tahun ini.

Menurut Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, adalah tidak masuk akal mengadakan PRU-15 ketika negara dijangka dilanda banjir besar.

“UMNO ini sudah gila, dia tahu nak masuk musim banjir, dia tekan juga kerajaan untuk bubar Parlimen tapi yang gila itu dua tiga kerat sahaja,” katanya, lapor Sinar Harian.

“Antaranya presidennya (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) yang gila, dia juga antisains kerana kata Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Jabatan Meteorologi sudah cakap masuk November peralihan monsun.

“Seperti tahun lalu, banjir yang melanda negara tidak sama seperti tahun sebelum ini kerana ia aman perubahan iklim.

“Sesiapa yang tidak memahami ilmu sains, dia pasti bodoh dalam memahami banjir kali ini, banjir ini akan besar dan menyusahkan rakyat,” katanya ketika berucap dalam persidangan Bahagian Bersatu dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Bersatu Selangor di Shah Alam, hari ini.

Perasmian disempurnakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan turut dihadiri Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Pada Jumaat, media melaporkan UMNO memutuskan untuk menggesa agar pembubaran Parlimen perlu dibuat segera bagi membolehkan PRU-15 diadakan pada tahun ini juga semasa mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *