AHLI Parlimen Kuala Langat Datuk Dr Xavier Jayakumar dan Ahli Parlimen Segamat Datuk Seri Dr Santhara Kumar hari ini menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Bakal Presiden PBM Datuk Zuraida Kamaruddin yang mengumumkan perkara itu berkata dengan kemasukan Xavier yang sebelum ini merupakan Ahli Parlimen bebas dan Santhara dari Parti Bersatu, PBM kini mempunyai enam orang Ahli Parlimen termasuk Zuraida sebagai Ahli Parlimen Ampang; Steven Choong (Tebrau); Larry Sng (Julau) dan Mohammadin Ketapi (Lahad Datu).
“Dua orang lagi yang berpotensi adalah Ahli Dewan Undangan Negeri dari Negeri Sembilan, insya-Allah kita sedang meneliti sedikit perkara dan akan membuat pengumuman,” katanya dalam ucapan penangguhan Perhimpunan Agung Tahunan 2022 PBM di sini hari ini.
Beliau berkata susulan kemasukan Santhara yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya ke dalam PBM, secara automatiknya beliau telah keluar dari Parti Bersatu.
Mengenai permohonan PBM yang mahu menyertai Barisan Nasional (BN), Zuraida berkata perbincangan masih berjalan dan maklum balas yang diterima adalah positif. – BERNAMA
Leave a Reply