Tak laksana perakuan MPN kerana Muhyiddin bukan PM alasan tak munasabah

Oleh: DATUK DR. MARZUKI MOHAMAD

PRESIDEN UMNO kata banyak perakuan MPN tidak dilaksanakan oleh kerajaan kerana Tan Sri Muhyiddin bukan Perdana Menteri.

Ini suatu alasan yang amat tidak munasabah. Mari saya jelaskan mengapa.

Semua keputusan MPN dibawa ke kabinet menerusi Memorandum Jemaah Menteri (MJM) untuk diluluskan oleh kabinet. Sebagai bekas Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, Presiden UMNO tentulah arif apa maksud MJM.

Daripada 95 keputusan MPN, 86 telah diluluskan oleh kabinet. 9 lagi sedang menunggu kelulusan.

Jadi, tidak kiralah Tan Sri Muhyiddin Perdana Menteri atau tidak, apabila telah menjadi keputusan kabinet, maka keputusan MPN mesti dilaksanakan oleh kerajaan.

Tetapi tidak mengapalah. Katakanlah kita bersetuju dengan pandangan Presiden UMNO itu. Oleh kerana Tan Sri Muhyiddin bukan Perdana Menteri, mungkin tidak ramai yang ambil peduli akan keputusan-keputusan MPN walaupun ia telah menjadi keputusan kabinet.

Selain MPN, ada satu lagi mekanisme pengurusan ekonomi negara yang penting iaitu Majlis Tindakan Ekonomi yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri sendiri. Majlis ini dianggotai oleh Menteri-Menteri berkaitan ekonomi dan pakar-pakar ekonomi.

Di sinilah keputusan-keputusan penting mengenai ekonomi negara dibuat. Keputusan-keputusan ini kemudiannya dibawa ke kabinet untuk pengesahan.

Semasa Tan Sri Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, Majlis Tindakan Ekonomi bersidang setiap minggu pada hari Isnin. Keputusannya dibawa ke Kabinet pada hari Rabu. Jadi Menteri-Menteri boleh ambil tindakan susulan yang segera di kementerian masing-masing selepas ia menjadi keputusan kabinet.

Dalam keadaan negara sedang berhadapan dengan masalah ekonomi yang kian meruncing, Majlis Tindakan Ekonomi sepatutnya bersidang dengan lebih kerap untuk membuat keputusan-keputusan segera mengenai ekonomi. Tetapi saya dengar Majlis Tindakan Ekonomi telah agak lama tidak bersidang.

Sepatutnya, Presiden UMNO gesa Perdana Menteri supaya segera adakan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi, bukan gesa segera diadakan pilihanraya.

Kadar inflasi pada bulan Ogos 2022 telah meningkat ke 4.7% dan inflasi makanan 7.2% berbanding 4.4% dan 6.9% masing-masing pada bulan Julai. Harga barang naik dan naik lagi. Kadar OPR juga dijangka akan dinaikkan lagi.

Jadi apa Majis Tindakan Ekonomi buat untuk atasi masalah ini?

Selain Majlis Tindakan Ekonomi, ada juga Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang diketuai oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia? Apa sudah jadi dengan pasukan ini? Lama sudah tidak dengar khabar berita.

Sabar ajer lah..

*Datuk Dr.Marzuki Mohamad adalah bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Ke-8.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *