REMAJA lelaki ditemukan lemas selepas terjatuh di Sungai Bukit Lanchong, Subang Jaya, Selangor, semalam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, mangsa Wan Mohamad Hafiq Wan Ismail, 13, ditemukan 2 kilometer (km) dari tempat mangsa terjatuh.
“Anggota bomba menerima panggilan kecemasan pada 4.56 petang dan dimaklumkan mengenai kejadian itu.
“Berdasarkan laporan awal, mangsa terjatuh ke dalam sungai ketika cuba mengambil bola sebelum dibawa arus dan tenggelam.
“Anggota membuat pemantauan di kawasan sekitar dan tugas diserahkan kepada Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) manakala pencarian secara ‘surface searching’ masih diteruskan di kunci air dan kawasan kali terakhir mangsa dilihat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, pencarian diteruskan pada hari ini dengan menggunakan dua buah bot dan mangsa telah ditemui terapung 2km dari tempat mangsa terjatuh, pada 8.21 pagi.
Mengulas lanjut, Norazam berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, lapor Astro Awani.
Leave a Reply