HOSPITAL Kuala Lumpur (HKL) kini menjadi hospital Kementerian Kesihatan (KKM) pertama menawarkan pembedahan penggantian sendi lutut dan pinggul kepada pesakit menggunakan teknologi robot iaitu Robotic Surgery Assisted (ROSA).
Lapor Berita Harian, Ketua Unit Pertukaran Sendi HKL, Dr G Kunalan, berkata, sejak Julai lalu pihaknya sudah melakukan pembedahan penggantian sendi lutut dan pinggul kepada seramai 21 pesakit yang mengalami masalah osteoarthritis.
Katanya, pembedahan teknologi robot memberikan ketepatan sehingga 98 peratus berbanding menggunakan sistem navigasi komputer sebelum ini yang memberikan ketepatan antara 94 sehingga 95 peratus.
“Peningkatan ketepatan ini membolehkan setiap pembedahan terutama yang kompleks dirancang dengan sebaik mungkin kerana robot ini juga dapat menunjukkan lokasi dan bagaimana cara potongan tulang yang betul selain turut memberi akses kepada ligamen,” katanya.
Dr Gunalan berkata, tempoh pesakit boleh keluar hospital selepas menjalani pembedahan itu juga lebih singkat iaitu antara sehari sehingga dua hari berbanding sebelum ini sehingga empat hari.
Katanya, pembedahan yang mengambil masa kira-kira satu jam 30 minit itu kini mendapat permintaan kerana ketika ini terdapat lebih 100 pesakit yang kebanyakannya berusia 60 tahun ke atas berada dalam senarai menunggu.
“Pesakit yang menjalani pembedahan ini kerana sendi lutut mereka semakin haus sehingga menjejaskan aktiviti seharian, namun selepas menjalani pembedahan, kira-kira 80 peratus daripada mereka berpuas hati dengan hasil malah dapat menjalani kehidupan dengan baik semula,” katanya.
Bagaimanapun Dr Kunalan berkata, ketika ini robot bernilai RM3 juta sehingga RM6.5 juta itu adalah pinjaman daripada sebuah syarikat swasta dari Amerika Syarikat (AS) yang diterima pada Julai lalu untuk digunakan bagi tempoh setahun.
Justeru, beliau berharap KKM mengambil inisiatif mendapatkan robot itu untuk digunakan untuk menjalani pembedahan dan sebagai latihan di empat hospital utama iaitu HKL, Hospital Umum Sarawak, Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah dan Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu, Kelantan.
Sementara itu, Ketua Sub Kepakaran Arthoplasty KKM, Dr Mohd Yusof Ibrahim, berkata penggunaan robot itu juga mampu mengurangkan penggunaan tenaga manusia iaitu daripada sehingga empat pakar bedah kepada dua orang.
Katanya, dengan ketepatan hampir 100 peratus, pembedahan itu diharap dapat membantu mengurangkan pembedahan ulangan kepada pesakit kerana ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan.
“Justeru saya berharap teknologi robotik ini dapat menjadi trend terkini di semua hospital kerajaan selepas ini, setanding dengan hospital swasta lain dan hospital di Thailand atau Singapura yang sudah lama menggunakan teknologi ini,” katanya.
Akuinya, ketika ini kesedaran orang ramai terutama warga emas untuk menjalani pembedahan penggantian sendi juga masih rendah.
Katanya, berdasarkan kadar populasi warga emas di negara ini yang semakin bertambah, dijangkakan kira-kira 10 peratus daripada mereka perlu menjalani pembedahan berkenaan.
“Namun kerana tahap kesedaran yang masih rendah selain tiada pengetahuan mengenai pembedahan seumpama ini, hanya kira-kira satu sehingga dua peratus sahaja yang sanggup menjalani pembedahan.
“Singapura yang mempunyai seramai 4.5 juta penduduk menjalani sebanyak 100 pembedahan ini seminggu, manakala Kelantan yang mempunyai kira-kira dua juta penduduk hanya menjalani antara 10 sehingga 12 pembedahan seminggu walaupun seperti kita sedia maklum ramai warga emas yang menderita sakit pada bahagian lutut ini,” katanya.
Leave a Reply