Oleh BADLISHAH MAT
LOGO Perikatan Nasional (PN) wajar dipertahankan oleh parti-parti komponen dalam gabungan itu sebagai tanda kesepakatan dan kekuatan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya berharap rakan gabungan itu, Pas termasuk di Kedah memilih untuk menggunakan logo PN.
Tambah beliau, PN mempunyai gabungan parti yang kukuh terutama dalam kalangan Pas yang mampu memberi tentangan hebat kepada Barisan Nasional (BN).
“Saya nak maklumkan bila saya bersama dengan rakan-rakan daripada Pas dalam kerajaan saya tengok depa (mereka) ini baik-baik belaka, saya ucapkan tahniah.
“Jadi bila saya sudah kata macam itu, jangan fikir lain lagi, ini logo PN kena tukarlah. Pasai apa? Nanti orang ingat colour (warna) sama (Barisan Nasional). Colour sama logo lain.
“Logo depa dacing. Bila pilihan raya, gambar yang keluar dacing. Kita? Bila mengundi esok yang keluar, saya nak bagitahu. Kitalah satu-satunya parti yang tulis penuh ‘Perikatan Nasional’. Dari zaman merdeka sampai sekarang ada lagi ke pengundi yang tak reti baca,” katanya.
Beliau yang juga Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Setiausaha Agung PN, di Alor Setar, Kedah malam tadi.
Pas Kelantan, Terengganu dan Kedah sebelum ini bercadang untuk menggunakan logo parti itu di negeri masing-masing pada PRU-15.
Tambah Hamzah, logo PN juga perlu terus diperkenalkan di semua kawasan terutama luar bandar agar memudahkan para pengundi.
“Kita nak pertahankan benda ini. Apabila sudah menang esok dan sudah berkuasa, pada masa itu Yang Amat Berhormat Datuk Seri Sanusi akan turun dari kampung ke kampung tunjuk, ini logo baharu kita.
“Kita lancarkan dari kampung ke kampung, semua orang kampung. Masa ini kita jangan lupa sebab nak senangkan logo kepada rakyat bawah. Esok-esok depa tanya logo siapa pula ini? Jadi Pengerusi PN Kedah, tolong pertahankan logo PN,” katanya.
Dalam pada itu, Hamzah berkata, BN termasuk UMNO sukar bangkit semula menawan rakyat kerana mereka sebagai parti besar yang ‘jatuh’ seperti parti di negara lain ketika pilihan raya sebelum ini termasuk di Indonesia dan Turki.
“Apa pun depa (BN) buat biarlah, rakyat tahulah, cukup-cukuplah. Dahulu di Indonesia parti yang paling besar sebelum merdeka sampai sekarang, hari ini parti itu (Golkar) masih besar tetapi tak boleh memerintah dah.
“Di Turki sama. Saya yakin itulah yang kita mampu lakukan walaupun kita baru bergabung dengan Pas parti yang dilihat oleh rakyat penuh berintegriti ini akan terus memerintah bukan dua tiga tahun tetapi selama-lamanya,” katanya.
Leave a Reply