Eksport Turkiye, Malaysia nikmati layanan bebas cukai mulai 1 Jan 2023

KIRA-kira 99 peratus eksport Turkiye ke Malaysia akan menikmati layanan bebas cukai, manakala hampir 86 peratus eksport Malaysia ke negara itu turut menerima kelebihan yang sama di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Turkiye (MTFTA), berkuat kuasa 1 Jan 2023.

Keputusan itu dibuat pada mesyuarat Majlis Ekonomi dan Perdagangan Bersama (JETC) yang diadakan di Ankara pada Khamis, dipengerusikan bersama oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan rakan sejawatan Menteri Perdagangan Turkiye Dr Mehmet Mus.

ETC itu diadakan bersempena dengan pemeteraian Protokol untuk Meminda Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara kerajaan Malaysia dan kerajaan Turkiye untuk meluaskan MTFTA sedia ada yang berkuat kuasa pada 1 Ogos 2015.

Protokol itu yang berjaya disiapkan dalam tempoh 15 bulan, kini telah diperluaskan skopnya untuk merangkumi perdagangan dalam perkhidmatan, pelaburan dan e-dagang.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkenaan mesyuarat JETC itu, Mohamed Azmin berkata pengembangan skop MTFTA akan meningkatkan antara lain aliran silang pelaburan serta meningkatkan mobiliti profesional antara Malaysia dan Turkiye.

Langkah itu juga akan melonjakkan lagi keyakinan pengguna dalam urus niaga dalam talian melalui penyelarasan peraturan dan penggunaan mekanisme pemudahcara manakala perusahaan mikro, kecil dan sederhana turut mendapat manfaat daripadanya kerana ia akan meningkatkan penyertaan mereka dalam perdagangan antarabangsa.

Pada mesyuarat itu, kedua-dua negara turut membincangkan pelbagai isu berkaitan perdagangan dua hala dan kerjasama ekonomi, termasuk kemungkinan memperkukuh lagi kerjasama dalam sektor perindustrian seperti industri halal serta langkah anti-lambakan untuk mencegah persaingan tidak adil.

Mohamed Azmin turut mencadangkan penubuhan secara rasmi Pasukan Petugas bagi Ketahanan Rantaian Bekalan Semikonduktor dua hala yang telah diterima baik oleh Turkiye.

Pasukan petugas ini akan memformalkan rangka kerja kerjasama ke arah memastikan daya tahan rantaian bekalan semikonduktor melalui penyelidikan dan pembangunan, keupayaan reka bentuk, kapasiti perkongsian pengeluaran, pembangunan bakat dan akses pasaran.

Menteri MITI dan rakan sejawatannya dari Turkiye juga menyatakan Malaysia dan Turkiye masing-masing berada di kedudukan strategik untuk menjadi hab pembuatan pilihan untuk ASEAN dan Kesatuan Eropah.

Sementara itu, Malaysia akan menjadi tuan rumah Mesyuarat Jawatankuasa Bersama peringkat pegawai kanan seterusnya pada tahun hadapan. – BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *