Bayi ditinggalkan depan rumah warga emas

Oleh ABU UBADILLAH RAHMAN

SEORANG bayi lelaki yang baru dilahirkan ditinggalkan depan rumah seorang warga emas di Kampung Tawakal, Kempas, Johor Bahru pada 20 Ogos lalu.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru, Adnan Md Yassin berkata, bayi itu ditinggalkan dalam keadaan masih bertali pusat dengan tubuhnya dibaluti kain batik diletakkan dalam kotak.

“Bayi ini semasa ditinggalkan berusia dua atau tiga hari. Diselamatkan penduduk kampung itu yang menyedarinya pada pukul 12.40 tengahari.

“Bayi berkenaan kemudian dirawat di Bahagian Kecemasan Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru. Pada ketika itu keadaan bayi ini agak membimbangkan kerana ketika itu diserang sawan dan mengalami masalah pernafasan.

“Bagaimanapun selepas menjalani rawatan, keadaan bayi berkenaan beransur baik dan disahkan tidak mengalami sebarang masalah kesihatan yang kronik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Adnan berkata, buat sementara bayi berkenaan yang dinamakan sebagai Ayden ditempatkan di Yayasan Orphan Care Johor Bahru mulai 26 September lalu hingga 24 Oktober ini.

“Pelindung kanak-kanak akan mengurus pendaftaran kelahiran bayi berkenaan dan membincangkan penempatannya pada masa depan,” ujar beliau.

Bagi tujuan itu katanya, JKM meminta bantuan orang ramai bagi mengesan waris bayi itu bagi membincangkan kebajikan dan keperluannya.

Orang ramai boleh menghubungi Pelindung Kanak-kanak, Zaid Ikhwan Lim di talian 07-2232606 atau 07-2232607 bagi menyalurkan maklumat.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *