JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dan terpengaruh dengan iklan ‘Bantuan Lesen Memandu Percuma Buat Semua Golongan’ yang tular dalam media sosial.
JPJ dalam hantaran di Facebook menegaskan, iklan ‘Bantuan Lesen Memandu Percuma Buat Semua Golongan’ itu adalah palsu.
Menurut jabatan itu, pihaknya telah menerima laporan berkaitan tawaran tersebut melalui aplikasi WhatsApp.
“Menerusi iklan yang telah menyalahgunakan gambar Perdana Menteri itu, sindiket berkenaan mempromosikan lesen memandu percuma yang boleh didaftarkan melalui pautan https://www.motif.my/bantuan-lesen/.
“Bukan itu sahaja, orang ramai turut dipelawa untuk menyertai ‘group WhatsApp’ di pautan https://www.portalmalaysia.com/whatsappgroupbantuan, untuk memperdaya lebih ramai mangsa,” katanya dalam hantaran itu.
Pada masa sama, JPJ memaklumkan memandang serius terhadap penipuan sindiket lesen terbang.
Katanya, siasatan lanjut berhubung perkara tersebut akan dilaksanakan.
“Ia termasuk membuat laporan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“JPJ menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dan terpengaruh serta menghubungi pejabat JPJ yang berdekatan bagi mendapatkan maklumat yang lebih tepat serta sahih,” jelasnya sebagaimana dilaporkan Utusan TV.
Leave a Reply