wan saiful PH kluster mahkamah UMNO

Bersatu beri 6 cadangan libat RUU Berkaitan Sumbangan Politik

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mencadangkan enam perkara perlu diambil kira dalam penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Berkaitan Sumbangan Politik.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, cadangan pertama adalah mengenai keperluan mewujudkan dana iaitu ‘state-funding’ untuk parti politik di dalam negara.

“Langkah menubuhkan pengurusan dana itu bakal mewujudkan persaingan yang sama rata dan adil untuk semua parti politik di Malaysia.

“Kedua, pelaporan aset dan harta parti mestilah telus dan terperinci agar tiada sesiapa boleh menyalahgunakan dana politik, atau menyorok dana yang mereka perolehi atas topeng politik.

“Ketiga, pelantikan pegawai pengawal sumbangan politik mestilah bebas daripada pengaruh politik dan diselia oleh Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, keempat, denda atau hukuman yang dikenakan bagi mereka yang tidak patuh mestilah signifikan supaya ia menghalang salah laku.

Beliau turut menjelaskan bahawa sumbangan kepada parti harus mendapat pengecualian cukai agar dapat menyuburkan budaya yang telus.

Selain itu katanya, peraturan mestilah menyuburkan budaya politik sihat dan menggalakkan partisipasi rakyat dalam menghidupkan budaya politik sihat.

Wan Saiful berkata, kesemua cadangan tersebut dikemukakan ketika sesi perundingan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang diadakan di Parlimen pada Rabu.

Dalam pada itu, Wan Saiful berkata, penyediaan draf RUU berkaitan sumbangan politik itu adalah satu perkembangan baik kerana beberapa kes berprofil tinggi di dalam negara dilihat membabitkan wang berbilion ringgit yang didakwa sebagai sumbangan politik.

“Sejak 2015 saya terlibat dalam proses merangka peraturan pendanaan politik. Semalam saya melihat buat pertama kali perkara pokok dirangka Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC).

“Tahniah kepada pasukan di GIACC yang bertungkus lumus merangka draf undang-undang yang sedang disediakan,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

Pada 23 September lalu, Wan Junaidi berkata, RUU Berkaitan Sumbangan Politik itu dijangka akan dapat dibentangkan di Mesyuarat Parlimen bagi bacaan pertama pada awal November ini dengan bacaan kedua pula pada penghujung bulan tersebut.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *