PRU-15: BERSATU Perlis senarai empat bekas wakil rakyat UMNO jadi calon

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Perlis memberi bayangan akan mengetengahkan semula nama ‘besar’ parti itu yang pernah mewarnai dunia politik tanah air untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Memetik laporan Berita Harian, antara nama disebut-sebut sebagai calon BERSATU ialah bekas Ahli Parlimen Kangar yang pernah menjawat jawatan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri antara 2006 hingga 2008 dan kini menjadi Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (AMPT) BERSATU, Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad.

Selain itu, bekas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar yang pernah menjadi Ahli Parlimen Padang Besar, Tan Sri Azmi Khalid dijangka membuat kemunculan semula dalam arena politik sekiranya pimpinan BERSATU Pusat mengkehendaki semula kemunculan mereka.

Pengerusi BERSATU Negeri Perlis, Abu Bakar Hamzah berkata, penyertaan semula mereka dalam PRU akan datang bagaimanapun akan dilihat kepada keperluan parti itu dalam usaha untuk memenangi kerusi yang dipertandingkan di negeri itu kelak.

“Walaupun mereka ini dianggap sebagai veteran tetapi mereka mempunyai pengalaman yang begitu luas dalam politik dan dahulunya mereka ini adalah UMNO namun sekarang berada dalam BERSATU dan dalam hal ini tidak mustahil berkemungkinan Tan Sri Mohd Radzi kembali semula di Parlimen Kangar.

“Kita dah pernah suara (hasrat) kerana Tan Sri Mohd Radzi juga sebagai orang yang mengaturkan perlembagaan BERSATU selain menjadi AMPT BERSATU dan kita pernah menyuarakan hasrat kita untuk bawanya kembali ke gelanggang pilihan raya tetapi ‘orang lama’ ini dia punya ‘sentimental’ dan santainya masih tetap ada lagi (untuk berada di belakang tabir politik).

“Namun jika BERSATU Pusat mencadangkan beliau untuk bertanding semula, apa kan daya mereka harus kembali ke gelanggang pilihan raya kerana ‘nama besar’ ini lebih membantu untuk menangkan kita punya calon dan parti,” katanya, semalam.

Abu Bakar tambah laporan itu berkata, selain nama dua tokoh politik itu, bekas Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Syed Razlan Putra Jamalullail dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena pada 2008 hingga 2018, Abdul Jamil Saad juga berkemungkinan akan membuat kemunculan semula.

“Kadang-kadang bekas ahli parlimen dan ADUN ini sudah lama berehat dan bergantung kepada keadaan dan seperti saya katakan, jika kita ingin kerusi Parlimen di Perlis ini dapat dimenangi oleh BERSATU, kita mungkin akan letak calon veteran di kerusi berkenaan.

“Saya lihat mereka terutama Tan Sri Mohd Radzi, Tan Sri Azmi dan Datuk Seri Syed Razlan sesuai bertanding di Parlimen kerana pengalaman mereka sebelum ini menjadi wakil di Parlimen berkenaan.

“Namun begitu, ia bergantung kepada keperluan parti ini untuk mengetengahkan semula mereka, bila keperluan mendesak untuk kita menang, kita terpaksa memanggil semula mereka untuk bertanding pada PRU nanti,” katanya.

Untuk rekod, Tan Sri Mohd Radzi pernah menjadi Ahli Parlimen Kangar pada 1982, 1986, 2004 dan 2008 manakala Tan Sri Azmi pula memenangi kerusi Parlimen Padang Besar pada 1995, 1999, 2004 dan 2008 dan Syed Razlan pula menjadi Ahli Parlimen Arau pada 2004.

Kesemua memenangi kerusi berkenaan atas tiket Barisan Nasional ketika itu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *