SEORANG pemandu lori maut selepas lori yang dipandunya melanggar papan tanda jalan di persiaran Paya Terubong 2, Bayan Lepas, Pulau Pinang hari ini.
Difahamkan, mangsa berusia 48 tahun itu maut di tempat kejadian kerana tersepit di tempat pemandu selepas papan tanda jalan itu jatuh menghempap lori tersebut.
Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Khairul Anuar Abd. Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 3.20 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
Jelasnya, apabila tiba di tempat kejadian pihaknya mendapati berlaku kemalangan melibatkan sebuah lori melanggar papan tanda jalan dan terdapat seorang lelaki tersepit di bahagian pemandu.
”Pihak bomba membuat ‘size up’ di lokasi kejadian dan mengarahkan anggota dengan pakaian perlindungan diri (PPE) lengkap melakukan kerja-kerja penyelamatan bagi mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas ‘rescue tool’.
”Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan pukul 3.46 petang dan disahkan meninggal dunia oleh pihak St. John ambulans yang berada dilokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat sepenuhnya pukul 4.37 petang.
Leave a Reply