PAU UMNO yang dahulu tolak BERSATU – Mohamed Farid

BERSATU Kota Bharu berpandangan bahawa tiada cacat cela dengan kenyataan yang dibuat oleh Presiden Parti BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yasin bahawa Barisan Nasional (BN) adalah musuh utama parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Memetik laporan portal Berita Bersatu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi berkata, kenyataan Muhyiddin itu dibuat dari sudut politik dan PRU 15 ada di dalam acara rasmi BERSATU, bukan dari sudut kontrak sosial hubungan sesama manusia.

Pada masa yang sama, beliau juga menegaskan BERSATU Kota Bharu juga menyambut baik hasrat murni PAS dalam memperkasakan agenda penyatuan ummah yang beliau simpulkan sebagai agenda pengukuhan bangsa dan ummah

Katanya, malah ianya juga adalah hasrat parti BERSATU dalam memastikan kepentingan rakyat terjaga dan dibela.

“Kenyataan Presiden BERSATU, bahawa BN adalah musuh utama adalah susulan daripada ketetapan yang dibuat UMNO sendiri dalam Perhimpunan Agung parti itu yang muktamad menolak kerjasama dengan BERSATU.

“Pada 28 Mac lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan tegas menyatakan tiada kerjasama dengan BERSATU dan Ketetapan itu bukan hanya dibuat Majlis Kerja Tertinggi (MKT), tetapi lahir daripada suara di peringkat akar umbi.

“Jadi tidak ada salahnya kenyataan yang dibuat oleh Presiden BERSATU kerana kita bercakap dari sudut politik bukan bercakap atas dasar kontrak sosial. Kalau kontrak sosial hubungan sesama manusia kita tidak pernah menyebut sesiapa sebagai musuh,” katanya baru-baru ini.

Mohamed Farid dalam laporan itu lagi berkata, perkara tersebut boleh dilihat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor dengan persaingan yang sengit melawan BN.

Katanya, bagaimanapun Perikatan Nasional (PN) akur dengan keputusan PRN lalu dan masih menyokong kerajaan sedia ada.

“Kita tidak mengambil langkah untuk meruntuhkan kerajaan dan masih menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Walaupun ada beberapa keputusan kerajaan yang tidak dipersetujui tetapi kepentingan rakyat di negara ini kita utamakan.”

Jelasnya lagi, BERSATU mengguna pakai perkataan tersebut dari kaca mata politik dan bukannya berasaskan definasi yang biasa dan umum.

“Tidak ada salahnya ungkapan Tan Sri Muhyiddin tersebut, samalah juga bertepatan sekali kenyataan pemimpin-pemimpin PAS mendokong perpaduan ummah,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *