KERAJAAN tidak perlu terburu-buru mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sebaliknya perlu mencari jalan penyelesaian dalam menangani permasalahan dihadapi rakyat terutamanya ketika negara bakal berdepan dengan musim tengkujuh.
Lapor Astro Awani, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar memberitahu, keutamaan harus diberikan kepada persediaan kelengkapan untuk musim tengkujuh dan iklim yang terlalu ekstrem.
“Kita dikhabarkan enam negeri akan terjejas dengan cuaca ekstrem ini dan kita tahu dengan cuaca sebegini di mana-mana sahaja boleh berlaku banjir atau banjir kilat.
“Pada saya, apalah sangat kerajaan tunggu sampai akhir penggal? katanya ketika ditemui Astro AWANI pada majlis makan malam Social and Economic Research Initiative di Kuala Lumpur, semalam.
Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh dalam laporan itu berkata, PRU pada ketika ini adalah tidak penting berbanding keperluan mendesak untuk memulihkan kestabilan negara.
“Kita jangan digembar-gemburkan sedangkan tugas kerajaan adalah mengurus negara dengan baik bukan berpolitik,” tambahnya.
Meskipun penggal Parlimen Ke-14 hanya berakhir Jun tahun depan, namun pemimpin UMNO sudahpun menggesa agar ia disegerakan.
Antaranya Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang berpendapat bahawa PRU tidak boleh ditangguhkan lagi.
Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan sebelum itu dilaporkan berkata, PRU15 sudah mencapai tempoh matang sejak PRU14 iaitu empat tahun sudah berlalu dan kini memasuki tahun terakhir iaitu tahun kelima sebelum Parlimen dibubarkan.
Leave a Reply