PADA sidang media di Kuala Lumpur semalam Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, MPN hanya bertindak sebagai badan penasihat kepada kerajaan yang tidak mempunyai kuasa pelaksanaan.

Perakuan-perakuan MPN dibawa ke Kabinet untuk kelulusan dan selepas itu hendaklah dilaksanakan oleh kementerian atau agensi kerajaan yang berkenaan.

Muhyiddin dan MPN bukanlah ‘Kassim Patolan’ – watak penasihat Sadiq Sigaraga dalam filem Tiga Abdul – yang akan menikmati komisen 25 persen jika apa yang dinasihatkan kepada kerajaan dilaksanakan, malah Muhyiddin sendiri menjalankan tugasnya sebagai Pengerusi MPN tanpa sebarang imbuhan walaupun jawatan tersebut bertaraf menteri.

Imbaslah kembali apa yang dikatakan oleh Muhyiddin pada 4 September 2021 sebaik sahaja dilantik menduduki jawatan itu.

Kata Muhyiddin, beliau bersedia menjalankan tugas secara sukarela tanpa sebarang imbuhan dan akan berperanan bersama anggota MPN membantu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan pimpinan Perdana Menteri itu membawa Malaysia melalui fasa pemulihan seperti digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Katanya, ia termasuk menyokong pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), memudah cara pembukaan sektor ekonomi, sosial, pendidikan dan keagamaan serta mewujudkan kesedaran masyarakat terhadap pematuhan kepada norma baharu kehidupan selaras peralihan pengurusan COVID-19 yang akan memasuki fasa endemik.

Maknanya Muhyiddin dan anggota MPN lakukan demi kepentingan negara dan rakyat bukannya mahu mengaut apa-apa keuntungan. Namun jika mendengar apa yang didedahkan pada sidang media itu, pasti ramai mempersoalkan apa sebenarnya berlaku sehinggakan perakuan MPN seolah-olah tidak dipandang serius oleh kerajaan.

Menurut Muhyiddin, sehingga kini sebanyak 95 perakuan MPN telah dibawa untuk pertimbangan Kerajaan menerusi Memorandum Jemaah Menteri (MJM). Dari segi pecahannya, 69 perakuan adalah berkaitan dengan isu utama yang mempunyai impak terhadap pemulihan ekonomi dan sosial dan 26 keputusan adalah berkaitan dengan hal ehwal pentadbiran. Sebanyak 86 keputusan telah diluluskan oleh Kabinet, manakala 9 keputusan lagi sedang menunggu keputusan Kabinet.

Daripada 69 perakuan berkaitan isu-isu utama tersebut, hanya 16 perakuan atau 23.2% telah selesai dilaksanakan. Manakala 30 perakuan (43.5%) masih dalam pelaksanaan, 14 perakuan (20.3%) belum dilaksanakan atau tiada maklum balas daripada kementerian atau agensi berkaitan dan 9 perakuan (13%) masih menunggu keputusan Kabinet.

Soalnya kenapakah keadaan itu berlaku? Apabila MPN membuat perakuan, ia bukannya seperti sembang  di kedai kopi kerana seperti mana kata Muhyiddin, majlis itu dianggotai oleh Menteri Kewangan sebagai Menteri Penyelaras, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Menteri Kanan Pertahanan, Menteri Kanan Kerjaraya, Menteri Kanan Pendidikan, Menteri Kesihatan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Ketua Setiausaha Negara dan pakar-pakar ekonomi, sosial dan pendidikan termasuk wakil daripada parti-parti pembangkang.

Justeru sudah pastilah apa juga nasihat  atau perakuan dilakukan selepas dibincangkan dan diputuskan oleh anggota-anggota tersebut. Tetapi persoalannya, kenapa kerajaan khususnya kementerian dan agensi terlibat tidak bersungguh-sungguh melaksanakan perakuan itu.

Daripada 95 perakuan, 86 keputusan telah diluluskan oleh Kabinet manakala 9 lagi sedang menunggu keputusan Kabinet. Dari segi kelulusan nampak menarik tetapi hakikatnya dari segi pelaksanaan bagaikan ‘ke laut’. Paling mengecewakan daripada 69 perakuan berkaitan isu utama impak terhadap pemulihan ekonomi dan sosial hanya 16 perakuan selesai dilaksanakan.

Bulan ini genap setahun MPN ditubuhkan tetapi kenapakah peranan majlis itu seolah-olah dilihat tidak penting kepada usaha pemulihan negara. Penulis faham Muhyiddin adalah Pengerusi Perikatan Nasional dan Presiden Bersatu tetapi jangan ada mana-mana pihak dalam parti politik atau Kabinet mempunyai pemikiran politik sempit dengan beranggapan, kalau semua perakuan MPN diterima dan dilaksanakan, ia akan menaikkan nama Muhyiddin.

Apa yang dilakukan Muhyiddin melalui MPN sama sekali tidak ada kaitan dengan survival politik mana-mana parti atau individu. Misi utama Muhyiddin bersama MPN adalah memulihkan negara kerana itulah janji beliau ketika mengambil jawatan sebagai Pengerusi PN.

Penulis percaya, kenyataan Muhyiddin semalam akan menyebabkan ‘badut-badut’ politik khususnya daripada UMNO ‘menyerang’ bekas Perdana Menteri itu. Tetapi walaupun kelompok ini akan membutakan mata dan hati mereka menelaah apa yang Muhyiddin bentangkan semalam, mereka perlu memberi sedikit ruang ‘dalam sel-sel otak’ mereka untuk mengkaji fakta yang dibentangkan semalam.

Antara berkaitan perakuan MPN untuk pertimbangan dan tindakan segera kerajaan dalam membuat persediaan bagi kemelesetan ekonomi dunia dan Malaysia pada tahun depan. Kata Muhyiddin, MPN sejak dari awal lagi telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan untuk mengatasi masalah gangguan bekalan (disruption of supply) yang menjejaskan produktiviti, meningkatkan kadar inflasi dan memperlahan proses pemulihan negara.

Antara cadangan itu ialah masalah kekurangan tenaga kerja asing dalam pelbagai sektor terutamanya perladangan, bantuan kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dalam menyelesaikan masalah kecairan (liquidity) aliran tunai yang masih terjejas,  isu keciciran pembelajaran akibat daripada penutupan institusi pendidikan semasa tempoh pandemik COVID-19, jaminan keselamatan bekalan makanan (food security); dan  potensi produktiviti industri pelancongan yang masih di tahap minimum dan tidak mencerminkan prestasi pemulihan yang positif.

Tetapi kalau melihat kepada statistik yang dibentangkan oleh Muhyiddin berhubung perkara tersebut sewajarnya beliau dan MPN berasa kecewa. Sebahagian besarnya ibarat menjadi ‘hiasan’ dalam kertas perbincangan Mesyuarat Jemaah Menteri sahaja.

Oleh itu, masih belum terlambat, biarpun pembubaran Parlimen dikhabarkan ‘sudah berada di ambang pintu’ untuk kerajaan meneliti perakuan daripada MPN. Tidak payahlah ‘melayan’ badut-badut’ politik yang sebelum ini ada antara mereka mencadangkan MPN dibubarkan dan dianggap gagal. Apatah lagi kalau yang bercakap tu pilihan raya pun kalah.

Kalaulah soal politik mahu dicampur adukan dalam usaha memulihkan negara memang apapun tidak boleh dibuat.

Lagipun Muhyiddin dan MPN bukanlah ‘sang penasihat 25 persen Kassim Patolan’. Sebaliknya MPN lakukan demi  rakyat seperti peringatan Muhyiddin,’’ Jika langkah-langkah segera tidak diambil untuk memperbaiki keadaan, rakyatlah yang akan menanggung sengsara.’’

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here