AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Razali Idris memberi amaran kepada P.Waytha Moorthy supaya tidak menjadi batu api yang bertujuan melaga-lagakan pemimpin parti pemerintah apabila menuduh Bersatu tidak akan menyokong Bajet 2023.
Sehubungan beliau mengingatkan Waytha yang juga bekas Menteri Perpaduan dan Kesejahteraan sosial itu tidak mencampuri urusan parti lain.
Razali memberi peringatan itu bagi merujuk dakwaan Waytha Moorthy yang menganggap “pertembungan” terbaharu antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mungkin menyaksikan parti teras Perikatan Nasional itu tidak menyokong Belanjawan 2023.
“Kenyataan Muhyiddin menjadi petunjuk tiada jaminan parti itu (Bersatu) akan menyokong Bajet 2023, yang dijangka dibentang pada 7 Okt,” kata Waytha Moorthy merujuk saranan Muhyiddin supaya Parlimen dibubarkan, jika Ismail gagal menguruskan ekonomi dan negara dengan baik.
Razali yang juga Ahli Dewan Negara berkata, pucuk pimpinan Bersatu tidak pernah berbincang untuk menolak Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 7 Oktober ini.
Bercakap portal FMT, beliau berkata, Waytha Moorthy sebenarnya gagal memahami maksud keseluruhan Muhyiddin dalam menasihati Perdana Menteri.
“Tuduhan tersebut tidak berasas, sekadar melaga-lagakan pemimpin parti kerajaan sedia ada. Semua Ahli Parlimen profesional dalam perbahasan bajet, termasuk daripada Bersatu kerana belanjawan untuk kepentingan semua rakyat, termasuk anggota kerajaan. Jadi, mana boleh semberono tidak menyokong,” katanya.
Leave a Reply