SEORANG murid lelaki sebuah sekolah rendah di Pontian Johor berdepan detik cemas apabila sebuah kon melekat pada bahagian kepalanya, hari ini.
Akibat kejadian itu, pihak sekolah menghubungi bomba yang kemudiannya membantu mengeluarkan kon dari kepala murid berkenaan.
Berita Harian melaporkan, Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan (PBK II) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian, Mohd Ezal Azma berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian tersebut pada pukul 1.28 tengah hari.
“Dengan bantuan enam anggota, kon itu dipotong dengan peralatan khas dan dapat dikeluarkan 26 minit kemudian,” katanya.
Difahamkan murid berusia 10 tahun itu bersekolah sesi pagi dan kejadian berlaku ketika dia hendak pulang ke rumah.
“Ketika bermain bersama rakan lain dalam kawasan sekolah, mangsa memasukkan kon ke kepalanya yang mengakibatkan gagal dikeluarkan,” katanya.
Leave a Reply