Hadi dan Muhyiddin bincang dua jam kukuhkan PN

KETIKA pelbagai spekulasi dan komen dilemparkan kepada Perikatan Nasional (PN), pemimpin-pemimpin utama terus istiqamah untuk memperkuatkan gabungan itu menjelang pilihan raya umum akan datang.

Pertemuan dan perbincangan banyak diadakan termasuk secara santai bagi mencari jalan terbaik memperkukuhkan PN.

Terbaharu Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yasin dilaporkan mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Menerusi perkongsian gambar di Facebooknya, Muhyiddin memberitahu perbincangan selama dua jam membuahkan banyak hasil.

“Alhamdulillah. Perbincangan selama dua jam malam tadi yang amat bermakna.

“Banyak perkara dipersetujui untuk memperkukuhkan Perikatan Nasional dalam menghadapi PRU-15” katanya.

Menerusi perkongsian itu antara yang hadir ialah, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Belia dan Sukan yang juga Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Turut hadir Menteri Kanan Pendidikan yang juga Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin.

Terdahulu, media melaporkan Muhyiddin berkata ada membaca laporan dakwaan membabitkan pertemuan Presiden Pas dan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dan perlu mengetahui kedudukan sebenar.

“Saya ada membaca berita (laporan akhbar mengenai dakwaan Abdul Hadi bertemu Ahmad Zahid) dan saya juga berminat untuk mengetahui perkara yang sebenarnya.

“Jadi, saya akan dapatkan pengesahan Abdul Hadi dalam pertemuan yang telah ditetapkan Isnin atau Selasa ini,” katanya pada Sabtu lalu.

Laporan media sebelum ini juga mendakwa Hadi dan Zahid mengadakan pertemuan untuk menghidupkan semula MN bagi mengelakkan pertembungan dua parti itu pada PRU-15.

Laporan itu turut menyebut pertemuan tersebut berlangsung Sabtu lalu dan keputusan perbincangan itu bakal dibawa ke mesyuarat Majlis Tertinggi (MKT) UMNO 30 September ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin menjelaskan selain mendapatkan penjelasan Pas, pertemuan itu juga akan turut membincangkan beberapa perkara penting lain sebagai persediaan menghadapi PRU-15.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *