SEORANG wanita maut manakala 13 lagi cedera selepas pikap dinaiki terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam sembilan meter ketika menuruni jalan dari Borneo Highland Resort, Padawan, di Kuching, semalam.
Dalam nahas berkenaan, mangsa yang maut dikenali sebagai Yow Sze Ee, 22, yang juga penumpang pikap terbabit.
Difahamkan, sebelum nahas itu, 14 sekeluarga itu melakukan aktiviti beriadah di kawasan air terjun bertempat di kawasan pergunungan berkenaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu 2.44 petang sebelum menggerakkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Simpok ke lokasi.
“Mangsa pertama berjaya dinaikkan serta diselamatkan pada 3.45 petang, manakala mangsa terakhir berjaya dibawa naik pada 7.30 malam,” katanya dalam kenyataan, lapor Harian Metro.
Kesemua mangsa katanya, diserah pada pihak ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) bagi tindakan rawatan seterusnya.
Operasi menyelamatkan semua mangsa selesai jam 7.39 malam.
Leave a Reply