Ramai wanita Malaysia bersalin bulan Oktober – Khairy

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan pertambahan jumlah pesakit di wad bersalin secara bermusim terutamanya menjelang bulan September sehingga November setiap tahun.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, kemuncak peningkatan kelahiran bagi kaum wanita ialah setiap kali bulan Oktober.

Sehubungan itu kata beliau, pihaknya akan terus menggiatkan usaha untuk mengatasi masalah kekurangan katil di wad bersalin selain memperkemaskan operasi di wad bersalin membabitkan semua hospital di negara ini.

“Ini fakta bukan alasan, kalau kita lihat trend bilangan kelahiran setiap tahun ia akan meningkat bermula pada bulan September hingga November. Apa sebabnya anda fikirkanlah.

“Ia memang bermusim… ini fakta. Dan kemuncak peningkatan kelahiran adalah pada Oktober dan trend peningkatan ini berlaku di seluruh Malaysia,” katanya sebagaimana lapor Astro Awani.

Bagaimanapun, jelas Khairy, KKM telah mengambil beberapa pendekatan bagi mengatasi masalah tersebut termasuk mempercepatkan proses discaj bagi setiap kes selain menambah jumlah katil di wad berkenaan di semua hospital yang dikenal pasti memerlukanya di seluruh negara.

KKM juga, kata Khairy, turut mendapati tempoh menunggu anggota keluarga oleh pesakit untuk datang mengambil mereka juga menyumbang kepada kesesakan yang berlaku.

Justeru, katanya, pihak KKM juga akan menyediakan ruang menunggu selepas discaj bagi membolehkan pesakit menunggu anggota keluarga mereka untuk mengambil pesakit berkenaan.

Khairy berkata, jumlah kesesakan itu juga turut disebabkan faktor pesakit yang mempunyai penyakit-penyakit lain seperti tekanan darah tinggi, kolestrol tinggi selain beberapa penyakit berjangkit lain yang menyebabkan mereka berada di dalam wad bersalin untuk tempoh yang lebih lama.

Faktor tersebut katanya menyebabkan pesakit tidak dapat melalui proses bersalin biasa dan memerlukan tambahan tempoh tertentu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *