KES demam denggi di Pulau Pinang meningkat hampir sekali ganda iaitu sebanyak iaitu 595 kes atau 93.2 peratus sepanjang tahun ini setakat 24 September lalu berbanding tempoh sama pada 2021 iaitu hanya 308 kes.
Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Datuk Dr. Ma’arof Sudin berkata, bagaimanapun tiada kematian melibatkan wabak demam denggi dilaporkan tahun ini setakat ini.
Namun menurut beliau, jumlah kes tahun ini juga lebih rendah berbanding jumlah kes sebelum pandemik Covid-19 iaitu penurunan sebanyak
26.2 peratus pada 2020 (806 kes) dan penurunan sebanyak 83.4 peratus (3,574 kes) pada 2019.
“Sementara itu, situasi wabak denggi yang dilaporkan sehingga 24 September lalu adalah sebanyak 42 wabak, berbanding tujuh wabak pada tempoh sama tahun lalu.
“Daripada 42 wabak denggi yang dilaporkan, 33 wabak telah tamat manakala sembilan wabak masih aktif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, aktiviti kawalan dan pencegahan telah dijalankan untuk semua kes dan wabak denggi yang dilaporkan bagi memutuskan rantaian jangkitan.
Sebagai contoh jelas beliau, aktiviti kawalan vektor yang melibatkan pemeriksaan premis, semburan kabus, penghapusan tempat pembiakan, dan pendidikan kesihatan dijalankan untuk setiap kejadian kes tunggal (single case) atau wabak.
Dalam pada itu ujarnya, sehingga 24 September lalu juga, sejumlah 312,711 premis telah diperiksa dan 445 kompaun dengan nilai RM222,500 telah dikeluarkan kepada pemilik premis yang dijumpai terdapat pembiakan nyamuk Aedes.
Tindakan kompaun itu katanya, dibuat di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 (Akta 154).
“Bagi memastikan penyakit demam denggi tidak terus merebak dan mengancam kesihatan penduduk di negeri Pulau Pinang, seluruh lapisan masyarakat perlu bersama-sama memikul tanggungjawab mencegah tempat pembiakan nyamuk ini,” katanya.
Leave a Reply