rakyat malaysia kemboja

Hanya kerana kejar gaji lebih banyak – Mangsa sindiket kerja

SEORANG mangsa penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja mendedahkan dia terperangkap dengan sindiket itu selepas terlalu mengejar gaji lumayan ditawarkan kumpulan berkenaan.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Othman 30-an mendakwa, dia pasti tidak akan dapat pulang ke Malaysia setelah anggota kumpulan sindiket mengacukan pistol ke arahnya.

“Saya tidak dapat bayangkan apa akan terjadi pada saya jika picu pistol itu ditarik. Tentunya saya tidak dapat pulang ke tanah air.

“Ia memang pengalaman yang tidak dapat saya lupakan. Hanya kerana mengejar gaji yang lebih banyak, saya jadi mangsa sindiket, dipaksa jadi scammer untuk kegiatan perjudian. Saya doakan yang lain selamat,” katanya kepada Harian Metro.

Othman menurut laporan itu lagi mendedahkan, tindakannya lari dari sebuah kawasan yang tidak diketahui untuk ke Kedutaan Besar Malaysia di Kemboja menyelamatkannya dan dia bersyukur masih selamat biarpun hidup terseksa sebelum itu.

Katanya, sepanjang beberapa bulan di sana, dia terpaksa makan makanan yang diragui kerana tiada pilihan dan hanya diberi AS$100 (kira-kira RM460) biarpun dijanjikan AS$1,500 (kira-kira RM6,888).

“Saya ditawarkan kerja berkaitan IT, namun saya dikatakan tidak mencapai piawaian yang sepatutnya. Kemudian saya disuruh melakukan kerja untuk menjadi scammer.

“Saya diberikan senarai nombor untuk dihubungi, semua itu berkaitan judi dalam talian. Saya terpaksa lakukannya dan rakan-rakan lain juga melalui pengalaman yang sama,” katanya.

Othman berkata, dia merasakan seolah-olah berada di dalam filem kerana tidak pernah membayangkan akan dipukul, dipijak oleh orang tidak dikenali dan diugut untuk ditanam hidup-hidup.

Menurutnya, nasibnya baik kerana dibantu seorang lelaki yang membawanya ke kedutaan dan dari situ dia dibantu sehingga dapat pulang ke tanah air, baru-baru ini.

“Saya berterima kasih di atas doa rakyat Malaysia dan Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO) yang membantu.

“Saya doakan agar yang lain juga akan selamat dan dibawa pulang ke tanah air segera,” katanya.

Sementara itu, kakak kepada seorang mangsa mendedahkan keluarganya pernah diminta wang tebusan lebih AS$10,000 (RM46,000) untuk membebaskan adik lelakinya yang berada di Laos hampir setahun lalu.

“Adik berjaya menyelamatkan dirinya dan kini sudah berada di Kedutaan Malaysia di sana. Kami sekeluarga sangat bersyukur dan berharap dia dapat kembali segera ke negara.

“Adik ke sana kerana terpedaya dengan tawaran kerja di sosial media, selepas ke sana kami pernah diminta wang tebusan untuk membawanya pulang, malah jumlahnya selalu meningkat,” katanya.

Seorang lagi ibu mangsa yang enggan dikenali, berkata, dia terlalu risau dengan keadaan anak lelaki berusia 19 tahun yang masih berada di Myanmar dan dipaksa berkerja sebagai scammer.

Katanya, dia dapat berhubung dengan anaknya sesekali dan terakhir pada bulan lalu apabila anaknya itu meminta dia melaporkan perkara itu kepada polis untuk menyelamatkannya.

“Anak dakwa bangunan yang dia duduk dijaga ketat beberapa individu seperti tentera. Dia minta diselamatkan dan saya merayu kepada pihak kerajaan bantulah bawa pulang anak saya,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *