Bersatu mesti ada tawaran jelas untuk rakyat – Wan Saiful

BERSATU mesti mempunyai tawaran yang jelas untuk rakyat, berbeza dengan apa yang ditawarkan parti lain.

Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata tindakan bercakap mengenai keburukan atau kelemahan orang lain belum cukup untuk membawa kemenangan kepada Bersatu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Bersatu mesti jelaskan apa yang kita tawarkan, yang berbeza dengan orang lain dan sebenarnya memang ada pembeza yang jelas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Wan Saiful mendakwa, UMNO sudah menjadi sebuah parti yang memperjuangkan kepentingan peribadi semata-mata dan mentaliti rasuah serta kleptokrasi mengakar kukuh dalam parti itu.

Pakatan Harapan (PH) pula dakwa beliau, adalah gabungan parti yang mendokong ideologi kiri, di mana DAP dan PKR jelas melaungkan agenda kiri berteraskan sosialisme, yang amat tidak sesuai untuk negara yang berteraskan prinsip kebebasan dan keadilan.

“Ini membuka ruang untuk BERSATU memposisikan parti kita sebagai parti pertengahan kanan (centre right). Ekonomi berteraskan perdagangan dan perniagaan.

“Selain itu, sosiopolitik berteraskan konservatisme yang berpegang dengan agama dan adat tata susila kita sebagai orang Timur serta penjagaan kebajikan rakyat berdasarkan semangat kekeluargaan dan kemakmuran yang dikongsi bersama oleh warga pelbagai kaum serta agama,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *