Bersatu Johor tegur PM, selesai masalah negara bukan tumpu PRU

KERAJAAN perlu memberi perhatian serius terhadap terhadap situasi terkini negara yang berdepan masalah meruncing antaranya kejatuhan nilai Ringgit dan menangani masalah banjir.

Berikuta adalah kenyataan Setiausaha Badan Pimpinan Negeri Johor Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Uzzair Ismail yang mengesa Perdana Menteri memberi tumpuan masalah itu dan bukan berbicara mengenai tarikh pilihan raya umum sahaja.

  1. Umum mengetahui bahawa kini nilai Ringgit Malaysia semakin melemah dan setakat semalam ianya mencecah paras RM4.50 berbanding Dolar Amerika yang terendah semenjak krisis kewangan Asia 1998. Keadaan ini memerlukan perhatian pihak kerajaan secara lebih terperinci kerana ia akan memberi kesan langsung kepada sektor import dan eksport negara yang mengakibatkan kepada kenaikan harga barangan keperluan makanan di Malaysia. Untuk makluman, Malaysia mengimport sebahagian besar bahan makanan mencecah RM63 billion tahun lalu.
  2. Untuk itu, Majlis Pemulihan Negara (MPN) dipengerusikan YB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Mohd Yassin telah menyuarakan kebimbangan ini dan telah mencadangkan beberapa perkara termasuk melaksanakan moratorium untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana, memudah cara permohonan pinjaman bagi perniagaan yang memerlukan modal dan menyelesaikan isu tenaga kerja yang meruncing bagi merancakkan semula sektor ekonomi Malaysia.
  3. Bagaimanapun Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob seperti mengambil sikap acuh tidak acuh terhadap permasalahan negara dan lebih terarah kepada berkenaan isu tarikh pembubaran parlimen. Sebagai Perdana Menteri, beliau seharusnya lebih fokus dalam isu menyelesaikan permasalahan yang dihadapi negara terutamanya di dalam bidang ekonomi. Sebagai bukti, beliau dilihat lebih terkehadapan di media berkaitan isu pembubaran parlimen berbanding isu-isu atau inisiatif yang ingin dilaksanakan Kerajaan untuk memulihkan nilai Ringgit Malaysia dan ekonomi.
  4. Ini sekali gus membidas dakwaan Datuk Nur Jazlan Mohamed bahawa Pengerusi MPN gagal membantu memulihkan ekonomi negara. YB Tan Sri Muhyiddin telah menyampaikan pandangan berdasarkan kepada laporan-laporan yang dikemukakan oleh pelbagai pihak termasuk Jemaah Menteri untuk dicadangkan kepada Perdana Menteri bagi diambil pertimbangan. MPN tidak mempunyai kuasa melaksana bagi setiap cadangan tersebut, sebaliknya ia terletak di dalam bidang kuasa Perdana Menteri sama ada mahu menerima cadangan tersebut atau tidak. Hal ini sekali gus menyangkal dakwaan dan tohmahan bahawa Pengerusi MPN tidak membantu memulihkan ekonomi negara sedangkan beliau sudah melaksanakan perkara yang telah diamanahkan.
  5. Seharusnya Nur Jazlan cermin dirinya sama ada telah membantu menyelesaikan isu-isu berkaitan di kawasan diwakilinya selaku Ketua UMNO Bahagian Pulai memandangkan kerajaan Johor semasa telah diterajui oleh Menteri Besar daripada UMNO terutamanya dalam isu banjir yang telah berlarutan sejak sekian lama serta permasalahan setinggan yang belum diselesaikan secara menyeluruh. Tidak perlu menantikan saat untuk menjadi ahli Parlimen semula barulah perkara ini akan dipandang serius kerana perkara ini telah timbul semenjak Nur Jazlan menjadi ahli Parlimen lagi.
  6. Tindakan Nur Jazlan ini lebih umpama meludah ke langit dan tidak cermin diri sendiri sebelum menuding jari kepada orang lain yang dikatakan tidak membantu untuk menyelesaikan masalah rakyat. Perbuatan ini kelihatan lebih kepada ingin menutup pekung sendiri kerana tidak lagi mendapat sokongan daripada rakyat di Parlimen Pulai.
  7. Sehubungan dengan itu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Johor menyangkal segala tohmahan yang dilemparkan bahawa Pengerusi MPN tidak membantu dalam menyuarakan cadangan atau syor bagi pemulihan ekonomi untuk pertimbangan kerajaan dan Perdana Menteri Malaysia selain menyarankan Nur Jazlan Mohamad menyelesaikan perkara-perkara yang menjadi permasalahan rakyat di Parlimen Pulai secara tuntas.

Uzzair Ismail
Setiausaha Badan Pimpinan Negeri Johor Parti Pribumi Bersatu Malaysia


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *